GUA MUSANG 7 Feb. - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Demikian nasib seorang warga emas berusia 64 tahun yang tinggal di Kampung Batu 2, Kuala Nerus di sini berikutan berdepan satu demi satu ujian dalam hidupnya.
Sebelum ini, Nik Mah Ibrahim, 64, dengan kudrat tidak seberapa perlu menjaga suaminya, Wan Yusoff Abdullah, 81, yang uzur dan menghidap asma kronik selain dalam masa sama memelihara seorang anak dan cucu yang cacat kakinya.
Kini, dia sendiri pula kehilangan keupayaan untuk berjalan akibat masalah sendi paha berikutan terjatuh di bilik air kira-kira setahun lalu.
“Sebelum ini saya menjaga suami yang uzur dan selalu ditahan di hospital dalam tempoh masa lama. Tetapi selepas kejadian itu (jatuh) saya hanya tinggal di rumah kerana pergerakan menggunakan kerusi roda terbatas,” katanya di sini hari ini.
Nik Mah yang mempunyai 15 orang anak berkata, segala perbelanjaan kini hanya bergantung daripada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya sebanyak RM350 sebulan.
“Saya turut menjaga seorang anak lelaki berumur 37 tahun dan seorang cucu lelaki berumur 15 tahun yang berstatus orang kurang upaya (OKU).
“Walaupun mempunyai anak yang ramai, saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana masing-masing sudah mendirikan rumah tangga dan hidup susah dengan hanya bekerja kampung seperti menoreh getah,” katanya.
Pada 17 Februari ini pula, Nik Mah memberitahu, dia perlu menjalani pembedahan menyambung tulang sendi pahanya di Hospital Kuala Krai dengan kos sebanyak RM7,500 dan perlu membayar pendahuluan RM500.
“Saya tidak mampu menyediakan wang pendahuluan untuk melakukan pembedahan di Hospital Kuala Krai. Kalau tidak bedah, doktor kata saya akan tempang seumur hidup,” katanya sambil menangis.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada Nik Mah boleh menghubungi warga emas itu di talian 013-5384621.