Berikutan ramai warga tempatan gagal melihat potensi dan kurang minat dalam pekerjaan, warga asing bijak mencuri peluang sehingga mampu menjana pendapatan lumayan dengan menawarkan perkhidmatan kepada pemaju.
Sikap tidak kisah pemaju dan subkontraktor dalam hal ini dengan melantik sub kontraktor dalam kalangan warga asing secara tidak langsung memperlihatkan kumpulan terbabit bukan sahaja berupaya mendominasi sektor terbabit malah meraih kekayaan yang tidak dijangkakan.
Ikuti laporan khas wartawan Mingguan Malaysia, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR bagi mengupas senario berkenaan bersama pekerja, jurutera dan pengurus projek yang terlibat secara langsung dalam sektor pembinaan.

 

KUALA LUMPUR 7 Julai  -  Warga asing yang bekerja dalam sektor pembinaan bukan lagi pekerja buruh semata-mata kerana ada di antara mereka yang dilantik menjadi subkontraktor secara terus di bawah kontraktor utama.

Menurut sumber yang juga merupakan seorang jurutera projek pembinaan, subkontraktor warga asing ada yang dibayar sehingga RM200,000 seminggu bagi menjalankan kerja-kerja berisiko kerana mampu menyiapkannya dengan pantas dan berkualiti.

Jelasnya, maka tidak hairanlah jika kini warga asing dilihat mendominasi projek pembinaan seluruh negara dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada pengosongan tanah sehinggalah kerja-kerja akhir sebelum serahan bangunan.

“Sekarang bukanlah satu per­kara pelik sekiranya melihat pekerja asing boleh menaiki kereta mewah dan pacuan empat roda baharu ke tempat kerja kerana bayaran diterima adalah lumayan.

“Sebagai jurutera saya sendiri menggunakan kenderaan terpakai, kini kontraktor warga asing mereka bukan sahaja mewah malah sudah mempunyai pekerja sendiri yang ditanggung sepenuhnya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sumber turut mendedahkan, subkontraktor warga asing juga mempunyai rangkaian baik de­ngan rakan di negara asal untuk mendapatkan bekalan tenaga pekerja selain yang sudah berada di negara ini.

Berikutan itu, katanya, mereka tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan tenaga yang cukup bagi menyiapkan kerja mengikut jadual ditetapkan kerana sanggup bekerja lebih masa.

“Di tapak projek saya ketika ini, kontraktor asing itu mampu menyiapkan kerja-kerja pemasangan jubin dengan pantas kerana bekerja 24 jam mengikut syif kerana ingin mengejar jadual masa ditetapkan.

“Kerja seperti itu tidak dapat dilaksanakan oleh kontraktor tempatan kerana sering kekura­ngan orang dan pelbagai masalah sedangkan apa yang paling pen­ting bagi kontraktor utama adalah mereka mahu kerja itu disiapkan segera,” katanya.

Menurut sumber lagi, keadaan itu bukan hanya berlaku di tempatnya, malah senario tersebut juga boleh dilihat di mana-mana tapak projek pembinaan seluruh negara dan keadaan itu semakin tidak terkawal.

Tambahnya, perkara itu secara tidak langsung membuatkan ba­nyak syarikat kontraktor tempatan gulung tikar gara-gara gagal mendapat projek kerana tidak berupaya bersaing dengan harga diberikan oleh kontraktor warga asing.

Jelasnya, mereka (kontraktor warga asing) tidak mempunyai sistem pengurusan yang betul dan tidak memerlukan syarikat untuk beroperasi seperti akaun dan sebagainya maka harga mereka lebih rendah.

“Banyak kontraktor tempatan terpaksa menamatkan kontrak mereka lebih awal walaupun projek belum siap sepenuhnya kerana kekurangan pekerja disebabkan pekerja diambil oleh kontraktor asing.

“Tidak dinafikan juga warga asing lebih rajin bekerja dan mampu untuk bekerja lebih masa tanpa memikirkan masalah keluarga berbanding warga tempatan yang mempunyai pelbagai tanggungan dan urusan keluarga,” ujarnya.