Panglima 12 Briged, Brig. Jen. Abd. Malik Jiran berkata, tarikh keramat penubuhan briged itu iaitu pada 1 Januari 1981, perlu diingati serta diamati sepenuhnya oleh setiap warganya.

Jelasnya, organisasi berkenaan merupakan satu-satunya briged istiadat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Hari ulang tahun ini akan disambut selama tiga hari berturut-turut bermula hari ini hingga Jumaat. Warga 12 Briged perlu berasa bangga kerana kita yang mengendalikan semua aspek pentadbiran atau penganjuran acara istiadat.

“Sama ada di peringkat Tentera Darat, ATM mahupun Kebangsaan,” ujarnya ketika berucap di Padang Kawad Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1RRD), Kem Wardieburn, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, turut berlangsung penyampaian sijil kecemerlangan sukan, kursus dan khidmat cemerlang kepada pegawai, LLP serta kakitangan awam yang telah berjasa mengharumkan nama briged itu. - UTUSAN ONLINE