Perintah tersebut dikeluarkan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin terhadap Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar selepas beliau membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Amira Haziqah Zulkifli yang mewakili pihak pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan pihak pendakwaan supaya ikat jamin terhadap Jamal dibatalkan, namun memerintahkan proses itu disempurnakan segera sebelum tarikh sebutan semula kes pada 11 Julai ini.

Pada 25 Mei lalu, Jamal mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam di hadapan pintu pagar keluar pos (1) bangunan SUK di sini pada pukul 10.15 pagi, 5 Oktober 2017.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400, jika sabit kesalahan.

Jamal, 48, membuat pengakuan tersebut dalam satu prosiding yang dijalankan di Hospital Pakar Ampang Puteri dekat sini di hadapan Raja Noor Adilla berikutan sedang mendapatkan rawatan sakit belakang.

Dia kemudian dilaporkan menghilangkan diri ketika Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam sedang menguruskan proses ikat jaminnya kira-kira pukul 5.30 petang pada tarikh tersebut.

Sementara itu, di luar mahkamah, peguam Datuk Imran Tamrin yang mewakili Jamal menjelaskan, kali terakhir beliau berjumpa dengan anak guamnya adalah pada 24 Mei lalu dan selepas itu langsung tidak dapat menghubunginya.

Jelasnya, setakat ini, anak guamnya mengetahui tentang sebutan kes pada hari ini, tetapi pihaknya tidak mendapat sebarang arahan untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini, yang saya sedia maklum terdapat tiga waran tangkap terhadapnya iaitu membabitkan urusan ikat jamin di Mahkamah Ampang Jaya dan pihak polis.