NUR ZAKIAH DZULKIPLI

Status orang kurang upaya (OKU) yang dimiliki Nur Zakiah, 32, tidak menghalangnya mengubah nasib daripada pe­nerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada usahawan berjaya.

Mula menceburkan diri da­lam projek perintis 2 Years Exit Programme (2YEP) JKM pada Januari 2015, Nur Zakiah yang tidak mampu menggerakkan bahagian pinggang ke bawah sejak berumur 10 tahun akibat penyakit polio memulakan perniagaan menjual minyak wangi.

“Sebelum ini, saya­ menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) JKM sebanyak RM350 , namun berubah apabila ditawarkan menjadi usahawan di bawah projek 2YEP.

“Dengan bantuan kewangan sebanyak RM2,700 dan tambahan daripada simpanan sendiri berjumlah RM10,000 serta pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional sebanyak RM5,000, saya memulakan perniagaan minyak wangi jenama Classic Red Perfum,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Selepas tiga tahun menjalankan perniagaan, Nur Zakiah yang berasal dari Kuala Pilah memaklumkan, dia turut mendapat bantuan mesin daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bernilai RM65,000.

Katanya, Classic Red Perfum yang beroperasi di Pusat Komersial Lavender High, Senawang dekat sini berjaya memperoleh pendapatan bersih bulanan mencecah RM10,000.