DR. NOR RUZAINI SULAIMAN
DR. NOR RUZAINI SULAIMAN

Menurut Ketua Wanita Isma Melaka Tengah, Dr. Nor Ruzaini Sulaiman, pramugari seharusnya diberi pilihan untuk memilih pakaian yang mematuhi syariah ketika bertugas.

Beliau berkata, sebagai contoh, banyak pekerjaan lain dalam negara ini yang memberikan kebebasan kepada pekerja wanitanya untuk menutup aurat, contohnya Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

“Malah juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut berpeluang menutup aurat mereka di mana tugas mereka jauh lebih berisiko.

“Maklum balas ini berikutan kenyataan menteri terbabit sebelum ini yang menyebut cadangan pakaian patuh syariah itu tertakluk kepada standard keselamatan ketika penerbangan termasuk ketika berlaku kecemasan yang dimaklumkan dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook baru-baru ini berkata, pakaian pramugari dan pramugara syarikat penerbangan di negara ini perlu mematuhi kriteria yang ditetapkan pihak yang bertanggungjawab tentang hal ehwal penerbangan.

Beliau yang berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu di Dewan Rakyat memberitahu, soal imej dan pakaian itu juga tertakluk kepada dasar syarikat penerbangan berkenaan.

Menurut Siew Fook, syarikat penerbangan juga perlu mematuhi standard keselamatan termasuk dalam situasi kecemasan.

Nor Ruzaini dalam pada itu berkata, apa sahaja amalan standard keselamatan sepatutnya tidak menjadi penghalang kepada kewajipan pramugari berpakaian menutup aurat.

Tegasnya, ini telah dibuktikan dalam beberapa pekerjaan lain yang jauh lebih berisiko namun masih boleh menutup aurat dengan baik.

Justeru katanya, Wanita Isma Melaka Tengah menyeru semua pihak sama ada pihak pengurusan syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS), kerajaan dan orang awam perlu menyokong usaha yang baik ini.

“Maruah seorang wanita Muslimah perlu dijaga dan dibela oleh semua umat Islam,” katanya. - UTUSAN ONLINE