Mangsa, Nor Akmal Alim, 23, yang mengandung 30 minggu dan juga tukang masak di gerai makan D’Bamboo House dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini untuk rawatan lanjut.

Seorang lagi mangsa, Tuan Mat Tuan Dollah, 41, dihantar ke sebuah klinik berhampiran lokasi kejadian oleh orang awam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd. Syazwan Saidy berkata, seramai 18 anggota dari balai itu serta Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada pukul 4.46 petang.

“Kebakaran memusnahkan sebuah bangsal yang menjadi tempat penyimpanan barang dan kerja pertukangan. Jarak bangsal itu hanya tiga meter dari gerai berkenaan.

“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.25 petang,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Syazwan berkata, berdasarkan keterangan saksi kejadian yang juga isteri pemilik kedai itu, satu dentuman kuat kedengaran di bahagian belakang gerai tersebut.

Katanya, saksi bergegas ke lokasi kejadian dan ternampak suaminya dan tukang masak wanita berkenaan yang cuba mengeluarkan tong gas cedera akibat melecur. - UTUSAN ONLINE