Nor Fazilah meninggal dunia di rumah keluarganya di Taman Chepor Damai, Chemor di sini pada pukul 4.47 petang.

Menurut bapanya, Mohd. Zahari Mohd. Kassim, 66, anaknya itu meninggal dunia setelah terjatuh di dalam bilik air rumah mereka.

Katanya, pemergian Nor Fazilah itu tidak dijangka kerana anak sulung daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku.

“Semalam, saya memimpin arwah masuk ke dalam bilik air dan ketika itu kakinya tidak kuat lagi untuk berjalan. Dia juga sempat berpaut di belakang saya sebelum tersembam di atas lantai bilik air.

“Saya dan isteri tidak berdaya mengangkatnya dan terpaksa meminta bantuan pihak bomba untuk mengangkat jenazah arwah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan penderitaan dialami Nor Fazilah yang menderita penyakit misteri hingga mengakibatkan kedua-dua belah kakinya membesar kepada saiz luar biasa.

Nor Fazilah yang dilahirkan dalam keadaan sempurna menye­dari ada sesuatu yang tidak kena selepas kaki kanannya pada paras lutut ke bawah membengkak dan berdenyut-denyut sebaik sahaja dia kebah daripada demam ketika berusia 23 tahun.

Beberapa pemeriksaan yang dilakukan di hospital bagaimanapun tidak dapat mengesan punca sebenar penyakit yang dialami remaja berkenaan.

Menurutnya, anaknya yang sebelum ini bekerja sebagai pembantu perubatan Klinik Pergigian Ipoh pernah berdoa agar nyawanya diambil pada bulan Ramadan kerana tidak berdaya lagi menahan kesakitan yang semakin teruk sejak akhir-akhir ini.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya namun, tidak akan melupakan jasa Nor Fazilah terhadap keluarga yang banyak membantu kami meskipun terlantar sakit.

“Nor Fazilah memperoleh bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Baitulmal dan wang pencennya. Selain membeli ubat untuk kegunaannya, dia memberikan wang bantuan tersebut untuk perbelanjaan rumah,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat di Tanah Perkuburan Islam Meru Raya pada pukul 12 malam semalam. - UTUSAN ONLINE