Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, pemeriksaan dikenali sebagai HPV DNA itu telah dilaksanakan di bawah kelolaan Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Ujarnya, pemeriksaan HPV DNA disyorkan kepada wanita berusia 30 tahun ke atas, dan kaedah ini amat berkesan dalam mengesan kehadiran kanser serviks.

"Pemeriksaan menggunakan berus kecil atau sudu untuk mengambil sampel tisu di kawasan permukaan serviks.

"Ia tidak menyakitkan kerana pengambilan tisu melibatkan di kawasan permukaan sahaja," katanya ketika berucap dalam majlis Pelancaran Revolusi Rose Ke Arah Menuju Penghapusan Kanser Serviks di Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Wan Azizah menjangkakan program pemeriksaan HPV DNA berkenaan bakal memanfaatkan  14,000 wanita sasaran dalam golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Ujarnya, kaum wanita disaran mendaftar menyertai program berkenaan di 49 klinik LPPKN seluruh negara. - UTUSAN ONLINE