Bagaimanapun katanya, beliau perlu menghormati semua cadangan dan pandangan yang diterima mengenai mekanisme pembayaran PTPTN itu.

Katanya, perkara itu hanyalah cadangan dan sekiranya tidak bersetuju sesiapa sahaja boleh memberikan idea baharu atau maklum balas menerusi Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) yang dilaksanakan dalam bentuk kajian atas talian menerusi halaman www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat.

“Perlu saya tegaskan bahawa ada cadangan atau idea yang kami sukai, tetapi ada juga idea yang kami sendiri rasa agak keberatan untuk menerimanya. Tetapi saya mengambil sikap untuk amanah terhadap input-input yang kami kumpulkan.

“Saya tidak menyaring keluar idea-idea yang diberikan, sama ada kami selesa dengannya atau tidak. Perkara paling penting ialah kami persembahkan semuanya dengan penuh amanah kepada rakyat agar penilaian akhir nanti boleh dibuat oleh rakyat sendiri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Saiful menzahirkan rasa kesal dengan tindakan sesetengah pemimpin di dalam kerajaan sendiri yang mengeluarkan kenyataan sembrono sedangkan mereka boleh mendapatkan maklumat yang telah disediakan oleh PTPTN.

Katanya, sebelum ini, beliau juga telah memberi taklimat penuh mengenai perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin-pemimpin utama parti di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Tidak sepatutnya jentera di dalam kerajaan tidak mempunyai maklumat mengenainya (KKR). Malah di dalam laman web PTPTN sendiri ada segala maklumat berhubung perkara itu,” katanya yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Dalam pada itu, beliau berkata, fokus pihaknya adalah bagi mencari jalan atau mekasnisme terbaik dalam pembayaran hutang PTPTN yang tidak membebankan para peminjam. - UTUSAN ONLINE