Dedah Wan Saiful, dia juga ditawarkan wang untuk menga­turkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat melibatkan anak pemimpin Bersatu dari Perlis.

Bagaimanapun, Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) itu bertegas

WAN SAIFUL WAN JAN
WAN SAIFUL WAN JAN 

enggan melakukan salah guna kuasa tersebut.

Tambahnya, dia juga membuat laporan polis mengenai pemalsuan dokumen melibatkan tuntutan ratusan ribu ringgit di pejabat Bersatu Perlis.

Justeru katanya, mungkin disebabkan tindakan itu menjadi antara punca beliau digugurkan daripada jawatan tersebut.

“Saya digesa untuk menarik balik laporan polis tersebut tetapi tetap berkeras untuk tidak berbuat sedemikian. Saya tidak pasti apa motifnya laporan itu mahu ditarik balik.

“Sebelum itu, saya juga te­lah bertegas untuk tidak mencampuri urusan mengaturkan pemberian kontrak kerajaan bernilai puluhan juta ringgit kepada syarikat yang melibatkan anak pe­mimpin Bersatu dari Perlis. Saya ditawarkan wang besar sekiranya membantu pengaturan kontrak tersebut. Saya enggan melakukan salah guna kuasa itu,” katanya di sini hari ini.

Sebelum itu, Bersatu Perlis memutuskan untuk menggugurkan Wan Saiful daripada jawatan setiausaha parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusinya, Ameir Hassan berkata, notis mengenainya telah diserahkan kepada Wan Saiful iaitu sejurus selepas barisan kepemimpinan mengadakan mesyuarat khas pada Sabtu lalu.

Katanya, keputusan tersebut diambil bagi memberi ruang kepada Wan Saiful untuk memberi tumpuan penuh kepada PTPTN.

Tambah Wan Saiful, beliau tidak akan bertolak ansur dalam hal integriti dan tidak akan tunduk kepada tekanan untuk mendapatkan wang dengan cara salah oleh mana-mana individu tanpa mengira jawatan yang dipegang di negeri ini. 

“Hal ini menambah iltizam saya untuk membantu Bersatu di Perlis menjadi lebih baik. Saya akan terus bekerja untuk kebaikan parti. Malaysia baharu perlu disambung menjadi Perlis baharu,” ujarnya.