Wan Nor Mafudah,21, dari Kampung Tok Raja, Jertih mendapat tempat pertama untuk kertas Laporan Kewangan (F7) dalam sesi peperiksaan Disember tahun lalu sekali gus mengatasi kejayaan tertinggi yang pernah dicapai oleh beberapa anak Melayu iaitu di tempat kedua, ketiga dan keenam dari 2015 hingga 2018.

Turut sama terlibat dalam sesi perkongsian selama sejam sempena siri jelajah ACCA a.c.t Tour 2018 di Terengganu itu ialah Ahmad Fauzee Mohd. Hassan, 20, dari Kelantan yang mengungguli kertas sama pada sesi peperiksaan Jun 2018 selepas mendudukinya bersama 16,000 pelajar dari seluruh dunia.

Wan Nor Mafudah berkata, peluang yang diberikan ACCA itu merupakan penghargaan besar buat mereka kerana secara tidak langsung dapat memberi motivasi dan inspirasi dalam menyakinkan pelajar Melayu agar tidak lagi takut untuk memilih bidang perakaunan sebagai pilihan untuk melanjutkan pelajaran.

Katanya, kejayaan mereka telah membuktikan yang anak Melayu bukan sahaja mampu mengambil ACCA bahkan, cemerlang dalam peperiksaan itu.

"Untuk berjaya dalam ACCA, selain rajin belajar yang paling mustahak adalah seseorang perlu memahami konsep akaun dan cara aplikasinya.

"Semua pelajar boleh menghafal tetapi mereka lemah dalam membuat aplikasi dan inilah yang saya ingin kongsikan dengan adik-adik dan rakan-rakan," ujar pelajar Kolej Pendidikan INTEC itu kepada pemberita ketika ditemui.

Siri jelajah ACCA a.c.t Tour 2018 di negeri ini merupakan yang keempat dianjurkan oleh ACCA Malaysia selepas diadakan di Kuching, i Kota Kinabalu, Sabah dan Ipoh sebelum meneruskan di Pulau Pinang dan Johor Bharu.

Program julung kali itu dalam masa sama bertujuan memberi makluman tentang perkembangan terkini tentang perubahan kelayakan ACCA di samping perkongsian pembelajaran dan sesi dialog bersama rakan dan ahli persatuan badan perakaunan profesional global itu.

Sementara itu, Ketua ACCA Malaysia, Edward Ling berkata, sebagai perintis dalam membentuk kerjaya perakuanan sejak 82 tahun lalu, ACCA telah menghasilkan ribuan akauntan profesional di negara ini dengan kebanyakannya menjadi pemimpin utama dalam dunia korporat dan perniagaan.

"ACCA akan terus membantu membuka kerjaya ini kepada semua tanpa mengira latar belakang sekali gus menghapuskan sempadan yang menghalang, menginovasikan kelayakan dan penyampaian bagi memenuhi pelbagai keperluan pelatih profesional dan para majikan.

"Ramai pelajar mengikuti pengajian ACCA secara sendiri di Malaysia maka kita akan memperkenalkan Program Panduan Belajar Sendiri yang merupakan pendekatan baharu sebagai sokongan pembelajaran buat mereka yang tidak mahu terikat dengan mana-mana institusi pengajian tinggi untuk mendapatkan kelayakan ACCA," katanya. - UTUSAN ONLINE