Kedua-dua mereka dipi­lih sebagai pemenang dengan pungutan markah keseluruhan tertinggi bagi qari iaitu 89 peratus dan qariah 86.33 peratus.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan kedua-dua me­re­ka membawa pulang hadi­ah utama berupa wang tunai RM15,000, wang tunai tambahan RM10,000 untuk menunaikan haji, wang tunai tambahan RM1,000 daripada kerajaan negeri, piala iringan, piala pusingan dan sebuah kereta Proton Exora.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang kategori lelaki disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob manakala kategori wa­nita disampaikan oleh isterinya, Toh Puan Zurina Kassim dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1438H/2017M di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini malam ini.

Yang hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta timbalannya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Tan Sri Othman Mustapha dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Yaakub Md. Amin.

Sementara itu, qari Melaka, Azraie Abd. Hak dan qari Kelantan, Muhammad Qayyim Nizar Sarimi masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga dengan markah 88.34 dan 87 peratus.

Bagi kategori wanita pula, tempat kedua menjadi milik qariah Selangor, Nor Ruzana Natiah Jaafar (84 peratus) dan tempat ketiga dimenangi qariah Kelantan, Munirah Kasim (83.68 peratus).

Buat julung kalinya juga, enam peserta turut dipilih sebagai johan hafazan al-Quran lelaki dan wanita bagi tiga ka­tegori sempena penganjuran serentak kedua-dua majlis berkenaan tahun ini.

Bagi hafazan kategori juzuk 1-30 berserta tafsir, johan lelaki dimenangi hafiz Johor, Muhammad Syazani Jemy dengan markah 99.23 peratus manakala kategori wanita diungguli hafizah Melaka, Nur Amalina Azharuddin (96.16 peratus).

Johan hafazan juzuk 1-20 pula dimenangi hafiz Kedah, Ahmad Syawqi Hasbullah (98.75 peratus) dan hafizah Kelantan, Mariam Husain (98.06 peratus) manakala johan kategori juzuk 1-10 ma­sing-masing milik hafiz Melaka, Ahmad Luqman Ahmad Zaini (98.73 peratus) dan hafizah Selangor, Iffah Abd. Rahim (98.39 peratus).

Johan lelaki dan wanita kate­gori utama hafazan juzuk 1-30 membawa pulang hadiah wang tunai RM12,000 dan tambahan wang tunai RM10,000 untuk menunaikan haji, tambahan RM1,000 daripada kerajaan negeri serta piala iringan.

Kelantan dipilih sebagai johan keseluruhan tilawah dengan markah 84.51 peratus manakala johan keseluruhan hafazan diungguli Melaka de­ngan 96.47 peratus.

Majlis yang bermula 2 April lalu itu menghimpunkan ke­seluruhan 106 peserta dari seluruh negara terdiri daripada 28 orang bagi tilawah iaitu 14 qari dan 14 qariah serta 79 peserta bertanding bagi hafazan iaitu enam orang dari setiap negeri.