Sesi itu yang berlangsung di ibu pejabat Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) di sini, turut dihadiri 35 negara anggota UNESCO, termasuk Perancis, Slovakia, Argentina, Ethiopia dan Arab Saudi.

Dalam kenyataan pembukaannya pada sesi itu, Dr Wan Azizah berkata Biro MOST telah membincangkan pelan tindakan itu secara terperinci semalam, dengan mengambil kira, antara lain, input daripada Jawatankuasa Penasihat Saintifik MOST, dan beberapa anggota Biro yang telah memberikan beberapa cadangan berguna untuk menambah baik kandungannya.

“Sekadar memberi beberapa contoh, Arab Saudi telah mengumumkan hasratnya untuk menguruskan Sekolah MOST dalam transfomasi pendigitalan pendidikan; Slovakia mengumumkan yang ia akan menguruskan dengan negara-negara jirannya satu persidangan besar mengenai migrasi pada bulan September 2019 dan Perancis membayangkan hasrat untuk melancarkan satu inisiatif dengan kerjasama Afrika mengenai konsep-konsep sains sosial,” kata beliau.

Dr Wan Azizah berkata Malaysia sebaliknya akan berkongsi lima projek yang telah dimulakan dan akan dilaksanakan dari 2019 hingga 2020, termasuk jaringan penyelidikan di seluruh ASEAN mengenai penuaan, Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia 2019 dan penyelidikan mengenai sistem sokongan kepada para penjaga orang kurang upaya.

“Projek-projek lain termasuk kajian diagnostik mengenai model penjagaan jangka panjang yang mampan dan diselaraskan untuk warga tua, dan penyelidikan mengenai peluang-peluang pekerjaan untuk orang kurang upaya,” kata beliau.

Dr Wan Azizah juga menekankan mengenai penglibatan aktif Malaysia dalam program-program MOST yang akan diteruskannya dan hubungan kerja yang baik dengan kesemua negara anggota yang akan diperkukuhkan lagi.

MOST ialah program sains antara kerajaan UNESCO mengenai transformasi sosial.

Ia bekerjasama dengan kerajaan-kerajaan, komuniti sains sosial dan sains kemanusiaan serta masyarakat sivil untuk menambah baik hubungan antara pengetahuan dan tindakan yang merupakan satu kunci kepada perubahan sosial yang positif.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri memulakan sesi itu dengan tafakur seminit untuk mangsa-mangsa yang terbunuh dalam kejadian pesawat terhempas di Ethiopia dan mangsa pembunuhan beramai-ramai keganasan di New Zealand.

Semalam, Dr Wan Azizah yang juga Presiden IGC MOST telah mempengerusikan mesyuarat Biro MOST. BERNAMA