Bagaimanapun, beliau yang ditemui pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini berkata, pihaknya ada mengadakan perbincangan dan mesyuarat tentangnya namun belum mahu membuat pengumuman tersebut.

Dr. Wan Azizah berkata, keputusan tentang individu yang akan dicalonkan parti bagi pilihan raya kecil (PRK) Permatang Pauh itu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

“Pada 14 April ini kami akan mula buka bilik gerakan pilihan raya. Mengenai calon, harap semua bersabar,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau sendiri berkemungkinan antara calon yang akan disenarai pendek, Dr. Wan Azizah hanya tersenyum.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini menetapkan PRK Permatang Pauh akan diadakan pada 7 Mei, penamaan calon pada 25 April manakala pengundian awal ditetapkan pada 3 Mei.

PRK Permatang Pauh perlu diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lalu yang menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Ahli Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua pembangkang itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. - Bernama