Pengurus Wali Band, Abzee Ridhuan berkata, setiap kali persembahan di Malaysia, Wali Band pasti menampilkan kelainan untuk tidak mengecewakan para peminatnya dan untuk konsert esok sebanyak 15 lagu akan di­nyanyikan termasuk Cari Jodoh dan Baik-Baik Sayang.

“Kami merasa amat bertuah ke­rana diundang membuat persembahan di hadapan para peminat yang merindukan kehadiran Wali Band di Malaysia, kami janji akan memberikan persembahan terbaik walaupun sudah lebih 10 kali membuat persembahan di negara ini.

“Semoga pengunjung MAHA 2016 khususnya untuk ROTF kali ini terhibur dengan persembahan Wali Band, apa yang penting buat kami ialah peminat di Malaysia terhibur dengan persembahan yang akan disampaikan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Festival muzik ROTF merupakan cetusan idea Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang bertujuan menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam industri pertanian melalui medium hiburan. Festival yang akan berlangsung esok hingga 10 Disember depan bermula pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah malam itu turut menampilkan barisan artis jemputan popular pada setiap hari dengan persembahan utama daripada legenda muzik rock tanah air, Datuk Ramli Sarip dan kumpulan Khalifah.

Sementara itu vokalis Wali Band, Farhan Zaenal Muttaqin atau lebih dikenali sebagai Faank berkata, pemilihan Wali Band untuk menjayakan ROTF merupakan penghormatan kepada kumpulan itu dan pastinya kepercayaan tersebut akan dibalas de­ngan persembahan bertenaga esok.

“Kami janji akan lakukan yang terbaik, bagi kami Malaysia merupakan destinasi wajib untuk dikunjungi supaya dapat berjumpa dengan peminat, terima kasih kepada penganjur dan saya berharap peminat Wali Band tidak melepaskan peluang untuk datang beramai-ramai ke MAHA menyaksikan persembahan kami,” katanya.