Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, inisiatif tersebut akan membolehkan mereka yang terpilih bekerja dari rumah, memilih masa bekerja anjal (FWH) atau melakukan waktu bekerja mingguan yang diubah suai (MCWW).

“Pelaksanaan waktu kerja anjal ini terbuka kepada semua pegawai dan kakitangan, lelaki dan wanita kecuali kaedah bekerja dari rumah yang terbuka kepada pegawai sahaja.

“Kaedah ini memberi kemudahan dan kelebihan kepada wanita, khususnya kerana dapat mengimbangkan kehendak tugasan pejabat dan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) kepada 645 pegawai dan kakitangan kementerian itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Yang turut hadir timbalannya, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Rohani menjelaskan, jumlah mereka yang memohon untuk waktu kerja anjal hanya akan diketahui 15 Mac ini sebelum diluluskan oleh Setiausaha Bahagian untuk dibawa kepada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia.

Menurutnya, tempoh percubaan selama tiga bulan ditetapkan untuk melihat keberkesanan dan kekurangan hasil pelaksanaan waktu kerja anjal itu sebelum dikembangkan ke kementerian-kementerian lain atau sebaliknya.

“Tempoh tiga bulan pertama menjadi penentu sebelum sebarang rumusan dibuat dan dikongsi dengan organisasi lain serta di peringkat pihak berkepentingan,'' katanya.

Beliau menjelaskan, pemilihan kakitangan dan pegawai bekerja waktu kerja anjal bagi ketiga-tiga kaedah itu hanya melibatkan golongan yang memperoleh markah 85 ke atas semasa penilaian prestasi dilakukan.

Untuk rekod, sebanyak 249 daripada 267 pegawai dan kakitangan di Kementerian Pembangunan Wa­nita, Keluarga dan Masyarakat memperoleh 85 peratus markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan, sete­rusnya layak memohon kemudahan tersebut.