Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, memorandum berkenaan telah selamat diserahkan kepada wakil kedutaan AS di Malaysia.

Katanya, wakil berkenaan telah berjanji akan memastikan dokumen yang mengandungi suara rakyat Malaysia itu akan sampai kepada pengetahuan Trump.

"Dengan sokongan kuat dari AS, Israel semakin mengganas. Pemindahan kedutaan dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis ini seolah-olah memberi restu kekejaman terhadap rakyat Palestin.

"Kita mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan berkenaan kerana Trump masih berdegil walaupun cadangannya itu telah ditolak oleh 128 buah negara," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan dokumen berkenaan.

Perhimpunan atas nama solidariti terhadap nasib umat Islam Palestin itu dimulakan dengan perarakan berjalan kaki dari bangunan Tabung Haji sebaik sahaja selesai menunaikan solat Jumaat.

Yang turut hadir, Penasihat Umum PAN, Ahmad Awang serta beberapa wakil NGO seperti Persatuan Ulama Malaysia, Humantarian Care Malaysia (MyCare) dan Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan). - UTUSAN ONLINE