SHAHRIR ABDUL SAMAD

Pengerusinya, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, keyakinan itu berdasarkan pe­ngalaman, pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki Felda dalam industri ber­kenaan.

Beliau berkata, tindakan drastik perlu dilakukan untuk memastikan syarikat tersebut kembali stabil dan langkah terbaik adalah untuk menempatkan wakil Felda dalam Lembaga Pengarah FGV.

“Pada 26 Mei lalu, Felda telah menghantar surat kepada FGV untuk menempatkan tiga orang dalam Lembaga Pengarah FGV dengan dua daripadanya wakil pengurusan manakala seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah Felda sendiri, namun hingga hari ini masih belum ada jawapan balas.

“Oleh sebab itu, saya akan menulis sendiri surat sebagai susulan terhadap cadangan itu sekembalinya saya ke Kuala Lumpur, Isnin ini,” katanya ditemui dalam majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Parlimen Johor Bahru di Dewan Serbaguna Kampung Datuk Sulaiman Menteri di sini, hari ini.

Shahrir yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, pihak pengurusan tertinggi FGV perlu mengakui syarikat itu kini mengalami masalah dan bukan ber­sikap sebaliknya de­ngan menafikan perkara tersebut.

“Apa yang perlu dilakukan adalah mencari penyelesaian terbaik buat syarikat itu secara keseluruhan dan bukannya soalan siapa menang.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melihat isu ini sebagai suatu perkara yang serius dan melantik Tan Sri Idris Jala untuk menyelesaikan apa yang berlaku, ini satu langkah yang bagus,” ka­tanya.

Beliau turut berharap ma­salah yang berlaku dapat di­selesaikan segera supaya tidak memberi kesan buruk kepada pihaknya dan peneroka kerana Felda merupakan pemegang saham terbesar FGV iaitu seba­nyak 33 peratus.