Harun Din

Penasihat Persatu-an Perubatan, Pengubatan dan Kebajikan Islam Malaysia (Darussyifa’ Malaysia), Datuk Dr. Haron Din (gambar) berkata, jika terdapat bukti-bukti nyata kanak-kanak tersebut akan bermasalah sehingga ke tahap kematian, maka suntikan itu perlu diwajibkan atas nama ijtihas hukum baharu yang dibuat berdasarkan keperluan.

“Dalam Islam, mewajibkan suatu perkara yang tidak diwajibkan oleh syarak dengan nas teks yang terang, maka perlu kepada kajian lebih lanjut.

“Namun, jika keadaan sampai ke peringkat menimbulkan permasalahan kalau tidak diambil vaksin menerusi bukti-bukti nyata yang menyebabkan kanak-kanak itu akan bermasalah, maka boleh mewajibkan sebagai langkah pencegahan kerana boleh mendatangkan bahaya,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung polemik isu suntikan itu yang cuba dimainkan oleh kumpulan antivaksin sehingga berlaku kes kematian akibat difteria dan peningkatan kes demam campak dalam kanak-kanak di negara ini.

Berikutan itu, bagi menyedarkan semula ibu bapa terutama beragama Islam, Kementerian Kesihatan bercadang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan cadangan mewujudkan fatwa mewajibkan suntikan imunisasi kepada golongan itu.

Dalam pada itu, Haron berkata, dari sudut perubatan Islam, konsep mencegah lebih baik daripada mengubati diamalkan bagi tujuan menjaga kesihatan diri manusia.

Beliau menjelaskan, Islam menerima konsep itu demi mencegah kanak-kanak daripada apa-apa penyakit seperti campak dan sebagainya.

“Kalau diakui pakar-pakar perubatan khasnya yang Islam bahawa vaksin itu bermanfaat kepada kanak-kanak dan tidak mempunyai kesan sampingan yang nyata, maka ia harus digunakan,” katanya.