Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, cadangan itu akan dikaji secara terperinci.

“Memang itu salah satu apa yang kita syorkan supaya menjadi pencegahan terhadap pe­nyakit,” katanya kepada pemberi­ta selepas melancarkan Yayasan Petronas di sini, hari ini.

Isnin lepas, Bernama melaporkan beberapa pihak termasuk Persatuan Doktor Islam Malaysia dan I-Medik Malaysia me­nya­rankan langkah itu dilaksana bagi melin­dungi kesihatan kanak-kanak daripada penyakit yang boleh dicegah seperti difteria dan campak.

Ini berikutan kes seorang kanak-kanak dua tahun di Johor yang disahkan tidak pernah menerima suntikan vaksin difteria meninggal dunia ming­gu lepas akibat penyakit itu.

Lima lagi kanak-kanak yang dilaporkan pernah berada dan berhubung secara terus de­ngan mangsa juga disahkan positif penya­kit difteria.

Dr. Wan Azizah yang juga Menteri Pemba­ngunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan, vaksin imunisasi adalah selamat dan ia tidak harus diragui kerana Jabatan dan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) juga te­lah mengeluarkan fatwa me­ngenai status halalnya.

Katanya, pencapaian prog­ram imunisasi pada tahun 2017 ialah 88 peratus daripada 95 peratus yang disasarkan.

“Kita galakkan ibu bapa untuk benarkan suntikan imunisasi kepada anak mereka. Jangan dengarlah (dakwaan kumpulan anti-vaksin). Memang mungkin ada satu dua (kes yang menpunyai reaksi negatif). Itu malang, tetapi yang lain tu, vaksin adalah selamat,” katanya. – BERNAMA