Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, peraturan tersebut bertujuan memastikan senjata api yang dimiliki oleh syarikat kawalan keselamatan tidak disa­lahgunakan untuk kegiatan jena­yah, gengsterisme atau keganasan yang boleh mendatangkan ancaman kepada ketenteraman awam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, peraturan berkenaan merupakan antara 10 inisiatif yang digariskan Kementerian Dalam Negeri bagi meningkatkan imej dan mutu perkhidmatan pengawal kesela­matan di negara ini.

“Bermula bulan depan, orang awam boleh menyemak status syarikat kawalan keselamatan yang berlesen di bawah Akta Agensi Persendirian 1971 dengan kementerian secara dalam talian.

“Itu amat berguna apabila kita hendak memilih syarikat kawalan keselamatan sama ada mempu­nyai rekod disiplin atau tidak, maklumat berkaitan alamat syarikat, senarai cawangan yang berdaftar serta perkhidmatan mereka dan sebagainya,” katanya ketika ber­ucap dalam majlis perjumpaan bersama ahli lembaga pengarah dan pengurusan syarikat kawalan keselamatan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Datuk Masir Kujat; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun serta Presiden Persatuan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan Malaysia (PPKKM), Datuk Seri Mustafa Ali.

Ahmad Zahid berkata, bermula awal tahun depan, semua syarikat kawalan keselamatan turut diwajibkan untuk menghantar pengawal keselamatan peribadi (bodyguard) bagi menjalani latihan khas dan ditauliah oleh kementerian dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kata beliau, langkah tersebut bagi memastikan syarikat-syarikat itu tidak sewenang-wenangnya menyewakan senjata api kepada mana-mana individu atas dasar sebagai pengawal ke­selamatan peribadi.

Selain itu menurut beliau, kementerian melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan me­ngadakan ujian saringan air kencing ke atas pengawal-pengawal ke­selamatan di seluruh negara pada bila-bila masa bermula bulan depan.

“Kementerian akan membu­at pindaan akta berkaitan berhubung tempoh sah laku lesen Agensi Persendirian untuk diperbaharui setiap dua tahun berbanding setahun sekali sebelum ini.

“Garis panduan berhubung kawalan keselamatan di institusi perbankan akan dikuatkuasakan bermula Januari tahun depan selain mewartakan pakaian seragam pengawal keselamatan, aksesori dan logo PPKKM yang kini sedang diteliti Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Tambah Ahmad Zahid, semua kontrak pembekalan perkhidmatan kawalan keselamatan kepada kementerian dan agensi kerajaan akan diseragamkan serta membangunkan sistem ‘self audi­ting’ bagi memastikan syarikat kawalan keselamatan mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan kementerian.

“Kementerian bersetuju de­ngan permintaan pihak PPKKM untuk mengubah nama perjawatan pe­ngawal keselamatan kepada pegawai keselamatan dan tentunya akan dipertimbangkan gaji lebih tinggi supaya lebih ramai rakyat tempatan berminat menceburi sektor ini. Bagaimanapun, kita akan kemukakan segala permintaan-permintaan lain kepada Kabinet pada Rabu depan,” katanya.