Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Wajah terjejas selepas guna kosmetik

KOTA TINGGI 19 Ogos– Seorang pembantu jualan di sebuah pasar raya, dekat sini menderita selepas menggunakan sejenis krim pemutihan sehingga menyebabkan wajahnya menjadi 'lebam' dan kehitaman.

ZAINANI ZAKARIA menunjukkan surat maklum balas daripada Pejabat Kesihatan Johor berkaitan kesan sampingan pada wajah akibat daripada pengunaan krim kosmetik di Kota Tinggi, Johor, semalam. UTUSAN/FARIK SALLEH

Zainani Zakaria, 48, men­dakwa, dia mencuba produk berkenaan sebaik sahaja disarankan kenalannya tahun lalu, namun mula berhenti menggunakan produk tersebut ke­ra­na tidak mampu membayar kosnya yang mahal.

Dia kemudian beralih kepa­da produk kosmetik lain, namun kulit mukanya seolah-olah seperti dijangkiti panau, menyebabkannya kembali meng­gunakan produk lama.

“Keadaan menjadi bertambah buruk apabila seminggu selepas menggunakan produk tersebut, muka saya gatal-gatal dan kemerahan.

“Malah kulit muka menjadi luka dan berdarah. Sebahagian kecil bulu mata dan kening menjadi putih serta kulit mula mengelupas seperti terbakar,” katanya yang ditemui, di sini semalam.

Ibu kepada tiga orang anak itu memberitahu, ekoran kulit wajahnya yang tidak seperti dahulu, dia pernah memakai topeng muka ketika bekerja kerana malu berdepan dengan para pelanggan yang bertanya tentang kulit wajahnya.

“Saya juga pernah mendapatkan rawatan di klinik pakar kulit, tetapi kosnya tinggi menyebabkan saya tidak dapat meneruskan rawatan.

“Kemudian ada rakan yang menyarankan saya supaya cu­ba madu kelulut. Alhamdulillah ada sedikit kesan positif berbanding sebelum ini. Kulit gelap di muka tidak seteruk ketika mula-mula dahulu,” katanya yang turut mengadukan masalah berkenaan di Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi.

Katanya, berdasarkan surat balas yang diberikan Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan negeri me­ngesahkan mengenai kesan sampingan menggunakan produk tersebut berdasarkan maklumat dan sampel produk yang diberikannya.

“Saya cuma berharap orang ramai terutamanya golongan wanita supaya lebih berhati-hati dalam memilih produk kecantikan yang dipakai.

“Apabila jadi seperti ini saya tak tahu apa yang hendak dibuat. Saya bukan mahukan wang, cuma amat mengalu-alukan ihsan mana-mana pihak membantu saya mendapatkan rawatan untuk memulihkan kembali wajah kerana saya tidak mampu mengeluarkan kos yang besar,” katanya.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain