Ibu saudara mangsa, Zarina Shuib, 53, berkata, perkara itu diceritakan adiknya, Mariani, 49, yang kini berada di Christchurch untuk menemani keluarga adik bongsu mereka, Mohd. Tarmizi, 42, yang menjadi mangsa tragedi berdarah itu.

“Adik (Mariani) kata wajah Muhammad Haziq nampak sangat tenang dan kelihatan seperti tersenyum ketika jenazah sudah selesai dikafankan sebelum dikebumikan di tanah perkuburan di sana.

“Saya sendiri memang terkejut dan sedih dengan pemergian arwah kerana menyangka dia masih hidup sebelum ini, kami sekeluarga amat terasa dengan pemergiannya tetapi inilah ketentuan Allah yang lebih menyayanginya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Hutan Kampung, di sini hari ini.

Dalam kejadian Jumaat lalu, Muhammad Haziq berada di Masjid Al Noor bersama bapa dan adik lelakinya, Mohd. Hariz, 13, untuk menunaikan solat Jumaat sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan di ruang solat masjid tersebut.

AHLI Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang

AHLI Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pinang menyertai majlis tahlil kepada  Allahyarham Mohd. Haziq Mohd. Tarmizi di kediaman ibu saudaranya di Hutan Kampung, Alor Setar, Kedah. - UTUSAN ONLINE

Ketika insiden terbabit, Mohd. Tarmizi turut cedera di bahagian belakang akibat terkena tembakan, manakala Mohd. Hariz dilaporkan sempat menyelamatkan diri.

Tambah Zarina, hanya Mohd. Tarmizi dan abang mereka, Zakaria, 55, yang menghadiri upacara pengebumian selepas waktu Zohor di negara itu, manakala ahli keluarga yang lain berada di rumah.

Katanya, keadaan Mohd. Tarmizi juga sudah beransur pulih selepas dibenarkan keluar hospital hari ini untuk berehat di kediaman mereka di sana.

“Saya juga diberitahu Mohd. Hariz masih trauma dengan kejadian itu serta ahli keluarga tidak menceritakan lagi kehilangan abangnya kerana mungkin tidak mahu dia terkejut,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zarina mewakili keluarganya merakamkan penghargaan kepada kerajaan dan semua pihak yang membantu mereka sepanjang kejadian itu serta memudahkan perjalanan abang, adik dan sepupunya ke New Zealand selain membantu urusan-urusan di negara itu.

Jenazah Mohd. Haziq dilaporkan selamat dikebumikan di Memorial Park Cemetery Bromley di Linwood, Christchurch yang turut disertai ratusan umat Islam dari Malaysia, Afghanistan dan Iran. - UTUSAN ONLINE