Di IPOH seorang pembaca, Khairul Nizam Latafi, 36, berkata, akhbar bersaiz kecil seperti tabloid itu lebih memuaskan pembacaan berbanding saiz ‘broadsheet’ yang kelihatan lebih nipis.



Dia yang juga seorang pereka grafik berkata, secara keseluruhannya, susun atur berita, grafik dan fon yang digunakan dalam penampilan wajah baharu Mingguan Malaysia itu adalah cukup memuaskan.

“Saya tiada masalah dengan penampilan baharu Mingguan Malaysia, cuma mungkin ‘masthead’ akhbar ini boleh ditambah baik secara lebih kreatif,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.



Seorang lagi pembaca, Mohd. Fadzil Abdul Amir, 51, pula berpendapat susunan grafik dalam akhbar bersaiz kompak adalah lebih tersusun dan tidak kelihatan terlalu berselerak.



Bagi Rosliana Rosli, 36, dia sememangnya lebih cenderung untuk membaca akhbar bersaiz kompak kerana mudah untuk dipegang.



Sementara itu, di KUANTAN, pemandu teksi, Mohd. Ruzmi Mat Taib, 50, berkata, saiz Mingguan Malaysia yang kompak memudahkannya untuk membaca akhbar tersebut terutamanya ketika menunggu penumpang di dalam kereta.



Peniaga, Wan Norhaslidawani Wan Hussin, 29, pula berharap Mingguan Malaysia terus diisi dengan bahan-bahan yang bermanfaat kepada pembaca meskipun berubah wajah.



Bagi seorang warga emas, Asmah Mamat, 67, dia berharap Utusan Malaysia terus menjadi pilihan pembaca dalam ada juga keadaan sekalipun.



“Asalkan orang masih mempunyai minat membaca, apa yang baik kita akan sokong,” katanya.



Di KEDAH, wajah baharu Mingguan Malaysia yang mula diperkenalkan hari ini tidak hanya disambut baik oleh para pembaca malah turut mendapat maklum balas positif daripada peniaga akhbar. 



Rata-rata mereka mendapati, ramai dalam kalangan pembeli menyatakan rasa terkejut dengan pembaharuan dibawa namun dalam masa sama gembira terhadap pembaharuan itu. 



Menurut peniaga akhbar di tepi Jalan Suka Menanti di sini, P. Arumugam, 65, kesemua naskhah akhbar Mingguan Malaysia yang dijualnya dan isteri di dua lokasi berbeza habis awal hari ini.



“Naskhah Mingguan Malaysia yang saya jual di sini habis pada pukul 11.30 pagi manakala isteri yang berniaga di Seberang Jalan Putra pula memaklumkan jualan akhbar itu di sana habis lebih awal iaitu kira-kira pukul 10 pagi,” katanya.



Seorang lagi peniaga, K. Ravindren, 70, turut mengalami pengalaman sama sehingga ada dalam kalangan pembeli yang menyangka dia tersilap menghulurkan akhbar untuk dijual.



“Ramai yang bertanya mengapa Mingguan Malaysia menjadi lebih kecil? Begitu pun bagi saya mereka bukan merungut sebaliknya hanya tertanya-tanya dengan pembaharuan dibawa,” jelasnya.



Seorang peniaga kedai runcit, Che Maimunah Ahmad, 53, pula berpandangan wajah baharu ditampilkan itu tampak lebih kemas berbanding sebelum ini. 


Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin memuji langkah Kumpulan Utusan kerana berani melakukan perubahan menerusi penampilan akhbar Mingguan Malaysia dalam saiz kompak, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Akademi Seni Dan Warisan (Aswara) berkata, imej baharu akhbar Mingguan Malaysia itu dilihat cukup segar untuk tatapan pembaca.

“Pagi ini, belek-belek akhbar ternampak akhbar Mingguan Malaysia sudah berwajah baru. Daripada saiz besar dah tukar ke saiz kecil atau tabloid. Dan esok sudah tentu Utusan Malaysia juga akan berwajah baru.

“Apa yang dapat Ct (Siti Nurhaliza) katakan wajah baharu ini sangat segar, jadi tunggu apa lagi, dapatkah naskhah anda sekarang...Tahniah Kumpulan Utusan,” katanya dalam status Instagram beliau, hari ini.

Setelah kira-kira 53 tahun memangkinkan fikiran rakyat menerusi naskhah bersaiz besar atau broadsheet, Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia hari ini melalui satu lagi revolusi dalam dunia persuratkhabaran apabila tampil dengan wajah baharu.

Bermula hari ini, akhbar arus perdana broadsheet terakhir itu akan membuka era baharu apabila buat pertama kali bertukar kepada cetakan bersaiz tabloid atau kompak sekali gus menjadikan Mingguan Malaysia sebagai naskhah pertama dengan saiz itu.

Sementara itu, di IPOH, seorang ejen pengedaran surat khabar, S. Selva Sithambaram, 46, berkata, berdasarkan maklum balas daripada para vendor, ‘masthead’ Mingguan Malaysia seharusnya dikekalkan seperti yang digunakan sebelum ini.

“Apabila fon ‘masthead’ dikecilkan, ia agak mengelirukan pembaca kerana terdapat beberapa akhbar lain juga kelihatan lebih kurang sama,” ujarnya.

Pada masa sama, dia memberitahu, Kumpulan Utusan perlu melakukan lebih banyak promosi agar wajar baharu Mingguan Malaysia itu mampu menarik minat lebih ramai pembaca baharu. - UTUSAN ONLINE