Majlis perlancaran wajah baharu Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia di hadapan pusat beli-belah Sogo di ibu negara petang ini mendapat sambutan hangat pembaca. Ruang hadapan kompeks beli belah ternama itu dibanjir hampir 3,000 pembaca tegar Mingguan dan Utusan Malaysia.

Turut memeriahkan majlis pelancaran adalah penerbit filem terkenal Datuk Yusof Haslam dan anaknya yang juga pengarah dan pelakon berbakat Shamsul Yusof dan barisan pelakon Munafik seperti Fizz Fairuz, Mawi dan Nasir Bilal Khan.

"Wajah baru ini saya rasa sesuai dengan peredaran zaman. Sebenarnya kita kena ikut peredaran zaman dan wajah baru ini sangat tepat pada masanya. Orang sekarang mahukan sesuatu yang ringkas.

"Usaha yang Utusan buat ini sangat baik. Ikut trend. Kandungan dia bagus. Kita orang orang hiburan. Banyak cerita yang dimasukkan. Dunia filem artis dan sebagainya," kata Yusof.

Turut hadir pada majlis pelancaran adalah Ahli Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Berhad Datuk Dr. Ibrahim Yahaya, Datuk Ahmad Fauzi Zahari, Datuk Mohd. Azmi Othman, Wan Zalizan Wan Jusoh dan Dr. Badrul Hisham Mohd. Yusoff

Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah, Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman dan Penolong Pengarang Minggguan Malaysia Azman Anuar juga hadir pada majlis pelancaran.

Menurut Ibrahim, wajah baharu Mingguan dan Utusan Malaysia adalah usaha berterusan kedua-dua akhbar itu untuk terus maju kehadapan.

"Ini adalah satu usaha maju ke hadapan bagi akhbar Utusan dan Mingguan. Kerana kita mendapati bawah trend sekarang adalah saiz kompak.

"Tujuan untuk menaikkan hasil jualan dan memberi pilihan kepada pengiklan-pengkilan untuk meletakkan iklan dalam akhbar kita," kata Ibrahim.

Sementara itu, Badrul Azhar berkata, tempoh dua bulan diambil bagi merealisasikan wajah baharu Mingguan dan Utusan Malaysia.

Wajah baharu itu bukanlah semata-mata pembaharuan dari segi saiz dan reka bentuk tetapi juga dari segi pengisian yang lebih terbuka dan bebas kepada semua pihak.

"Mestilah yang terbaik. Kita asik rancang-rancang sudah dua bulan kita buat pertandingan. Inilah hasilnya.

"Saya harap semua bagi sokongan penuh. Sudah lama kita mahu lakukan. Nafas baru dalam bahan- bahan. Semua boleh keluar dalam surat khabar," kata Badrul Azhar.

Turut hadir pada majlis pelancaran adalah jemputan khas sasterawan dan pejuang bahasa, Dr. Lim Swee Tin dan penampilan khas oleh Hafiz Hamidun. - UTUSAN ONLINE