Bekas pakar toksikologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, agen saraf VX yang digunakan secara meluas sebagai senjata peperangan dalam bentuk gas dan cecair hanya bertindak balas terhadap tubuh manusia menerusi serapan pada kulit atau pernafasan.

Menurutnya, dos cecair kimia yang digunakan dalam kes pembunuhan Jong-nam itu mungkin begitu kuat melebihi 10 miligram (mg) hingga menyebabkan mangsa maut.

“Cecair kimia itu yang tidak berbau bertindak ke atas enzim sistem saraf seterusnya melumpuhkan sistem respiratori manusia.

“Malah, mangsa yang terdedah kepada bahan kimia ini kebiasaannya akan mengalami kekejangan otot dan kegagalan pernafasan yang boleh berakhir dengan kematian,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, pihak berkuasa mengisytiharkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) sebagai selamat daripada pencemaran toksik selepas insiden pembunuhan Jong-nam yang dikenal pasti menggunakan agen saraf VX.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah dalam satu sidang akhbar memberitahu, operasi itu meliputi semua kawasan dan lokasi yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.