SKUBA antara aktiviti yang sering dilakukan oleh Zoey Rahman pada
SKUBA antara aktiviti yang sering dilakukan oleh Zoey Rahman pada waktu lapang.

Zoey atau nama sebenarnya Mohd. Hairey Azhar Abd. Rahman berkata, sekalipun drama 20 episod arahan Jamal Khan itu berteraskan genre komedi, namun itu tidak memberi sebarang masalah kepadanya.


“Saya bukan pelawak tapi saya dapat melakonkan adegan komedi dengan selamba kerana pengarah Abang Jamal memberi kebebasan kepada pelakon. Lagipun watak Mamat itu sendiri sudah kelakar dan perangai begitu ada pada sesiapa sahaja.


“Kelakar yang ditonjolkan bukan dibuat-buat tapi itulah perangai yang dimiliki oleh sesetengah individu. Lagipun saya mendapat kerjasama yang baik daripada pelakon Mat Rukun yang lain,” katanya kepada Utusan Online ketika ditemui semasa mengikuti rombongan percutian di atas kapal mewah SuperStar Libra anjuran Star Cruises baru-baru ini.

Selain menonton di saluran TV9, drama Mat Rukun yang turut dijayakan oleh Elisha Sandha, Fazlina Ahmad Daud, Illya Buang, Marisa Yasmin, Ropie, Syed Ali, Chik Pak Man Telo, Feiyna Tajuddin dan Aliff Yasyaff juga boleh ditonton di portal video tonton iaitu www.tonton.com.my.


Menurut Zoey, seandainya ditawarkan lagi watak humor pada masa depan, dia tidak akan menolak kerana melakonkan karakter yang bertentangan dengan perangai sendiri merupakan suatu tugas yang mencabar.


Pelakon dan bekas pengacara program Gerak Geri Gasing itu bukan sekadar berlakon drama sahaja, sebaliknya, dia juga baru selesai menjalani penggambaran untuk komersial untuk sebuah kereta jenama antarabangsa.


“Untuk iklan kali ini, saya menjalani penggambaran untuk penerbitan sebuah drama pendek yang akan disiarkan di internet. Drama ini ada enam keluaran dan akan disiarkan dalam bentuk iklan.


“Untuk drama itu, saya berlakon bersama Farali Khan, Adam Lee, Ahya Rosli dan akan mula disiarkan di alam maya pada pertengahan bulan ini,” katanya yang turut mengembangkan bakatnya di Indonesia.


ZOEY RAHMAN sewaktu bercuti di atas kapal mewah Super Star Libra,
ZOEY RAHMAN sewaktu bercuti di atas kapal mewah Super Star Libra, baru-baru ini.

Zoey yang sedang bercuti daripada kerjaya lakonan berkata, dalam waktu terdekat, dia akan memulakan tugasan sebagai pengacara untuk program remaja akan disiarkan di Astro.


Selain itu, drama 20 episod, Kleopatrina lakonannya akan ditayangkan di saluran Hypptv pada pertengahan bulan ini.

Antara pelakon lain yang turut membintangi drama Kleopatrina ialah Nazim Othman, Mimi Lana, Adeline Tsen, dan Mimi Ernida.


ZOEY RAHMAN bercuti selepas penat bekerja di lokasi.
ZOEY RAHMAN bercuti selepas penat bekerja di lokasi.

Sementara itu, berkongsi pengalamannya sewaktu bercuti lima malam, empat hati di atas kapal mewah Super Star Libra yang memulakan pelayaran dari Pelabuhan Klang menuju Patong, Phuket (Thailand), Pulau MacLeod (Myanmar), Pulau Pinang dan kembali ke Pelabuhan Klang, Zoey berkata, itulah masa untuknya berehat.


“Saya teruja untuk mengikuti percutian ini kerana sebelum itu saya pernah menjalani penggambaran drama Arluna di atas kapal itu. Cuma dulu masa kerja tak sempatlah nak menggunakan segala kemudahan yang disediakan.


“Paling seronok apabila pelancong dibawa ke Pulau MacLeod, Myanmar. Ini adalah destinasi baharu pelayaran bersama kapal mewah ini. Di Pulau MacLeod, saya pergi skuba kerana skuba merupakan antara aktiviti yang saya suka kalau tidak bekerja,” jelasnya yang sudah memiliki lesen Advance skuba sejak lima tahun lalu.


Antara lokasi aktiviti skuba yang pernah diikuti Zoey ialah Pulau Perhentian, Pulau Tioman, Boracay, Filipina, dan di Gili Trawangan, Indonesia. - UTUSAN ONLINE