Apa yang menarik, Zambry turut memakai pakaian berwarna jingga lengan panjang dan bertopi seperti pekerja bahagian pembersihan MBI.

Malah, beliau turut menaiki lori sampah dan mengutip sampah bersama pekerja MBI di beberapa kawasan perumahan di sekitar bandar raya ini.

Turut serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man yang berpakaian seperti pekerja pembersihan MBI dan menaiki lori sampah bersama-sama Zambry.

Zambry berkata, tujuan beliau berbuat demikian ialah untuk melakukan pemeriksaan mengejut dan menilai sendiri mengenai tahap kerja-kerja pembersihan yang dijalankan oleh MBI di bandar raya ini.

Katanya, ‘penyertaan’ beliau adalah secara mengejut dan tidak dirancang bagi memastikan kakitangan bahagian pembersihan MBI melaksanakan kerja mereka seperti biasa dan bukannya bersiap sedia menanti kedatangan beliau.


Video oleh SYEFRY MONIZ MOHD. NIZAR

“Inilah cara untuk mendekati golongan yang bekerja keras memastikan kawasan bandar raya Ipoh sentiasa bersih.

“Untuk mengetahui bagaimana mereka bekerja, saya perlu merasai sendiri kerja-kerja yang mereka buat dan ini diharapkan memberi rangsangan kepada mereka untuk Ipoh menjadi bandar raya terbersih,” katanya.

Menurutnya, pada pengamatannya, pekerja MBI melaksanakan kerja mereka dengan bersungguh-sungguh dan beliau berpuas hati dengan tahap penjagaan kebersihan yang dilaksanakan oleh MBI.

Katanya, pekerja bahagian pembersihan MBI diharap dapat mengekalkan dan memperbaiki tahap kebersihan bukan sahaja di kawasan yang menjadi tumpuan tetapi di seluruh Ipoh termasuk di kawasan perumahan.

“Mungkin selepas ini kita boleh fikirkan dari segi kekerapan kutipan sampah, waktu kutipan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berharap, tahap penjagaan kebersihan di negeri ini termasuklah Ipoh diutamakan memandangkan Perak dan Ipoh dimasukkan sebagai lokasi pilihan dalam buku pelancongan antarabangsa terbesar dunia, Lonely Planet.

“Pelancong yang datang ke Ipoh kagum melihat kebersihan bandar raya ini namun kita tidak boleh berpuas hati setakat itu sahaja,” katanya.