Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr Yusri Mohamad berkata, saranan tokoh media tersebut yang mahu semua sekolah tahfiz ditutup adalah sangat radikal dan sekadar mahu membuat ‘riuh’ sahaja.

Beliau berkata, sebarang kekurangan tidak boleh dijadikan alasan pemansuhan institusi itu kerana ia boleh diatasi dengan usaha penambahbaikan berterusan.

“Kita sendiri tahu hari ini lepasan tahfiz boleh masuk ke pelbagai bidang dan bukan tamat dengan kemahiran menghafal al Quran sahaja.

“(Zainudin) kata pelajar tahfiz tidak ada masa hadapan dan jumud sedangkan ini tidak mewakili semua, orang keluar universiti dan banyak sijil sekali pun ramai yang jumud pemikiran mereka.

“Kita kena rujuk hal ini kepada orang yang ahli, tokoh yang bagi pandangan itu bercakap perkara yang bukan bidang dia pun, untuk menambahbaik institusi tahfiz kita rujuklah kepada kementerian, jabatan, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Dan Pendidikan Agama Islam ( Lepai) dan pakar-pakar akademik,” katanya.

Yusri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Hari Terbuka NGO Islam dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 di Hotel Crown Garden di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Zainudin dalam laman blog zamkata semalam yang mencadangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa supaya menutup semua sekolah tahfiz yang didakwanya tidak memberi masa hadapan kepada generasi baru umat Islam. - UTUSAN ONLINE