Video Oleh SITI NORHAWA MOHD. ALI

Menteri Ke­sejah­teraan Ban­dar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata, keperluan itu wujud berikutan lebih 50 peratus populasi dunia tinggal di kawasan bandar di negara masing-masing.

“Urbanisasi telah diiktiraf sebagai salah satu trend yang transformatif di abad ke-21 dan memberi kesan besar terhadap aspek sosial, ekonomi, politik dan alam sekitar.

“Malaysia komited untuk melaksanakan objektif Matlamat Pembangunan Les­tari (SDG) dan pelan tindakan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) bagi memastikan bandar kita selamat, inklusif, berdaya tahan, mapan dan tadbir urus bandar yang cekap,” katanya ketika merasmikan WUF9, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique dan Pengarah Eksekutif di UN-Habitat, Datuk Maimunah Mohd. Sharif.

WUF9 membuka tirai hari ini dengan majlis mengibarkan bendera Malaysia dan bendera Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang disempurnakan oleh Noh dan Maimunah di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Forum dengan tema Bandar 2030, Bandar Untuk Semua: Me­laksanakan Agenda Bandar Baharu itu disertai 89 Menteri dan Timbalan Menteri dari 61 negara serta 24,700 delegasi dari 192 ­negara.

Noh berkata, terdapat lima per­himpunan penting dalam WUF9 iaitu Perhimpunan Wa­nita, Perhimpunan Sidang Perniagaan, Perhimpunan Kanak-kanak dan Belia, Perhimpunan Dunia Kerajaan Tempatan dan Wilayah serta Perhimpunan Akar Umbi yang akan membincangkan hal-hal berkaitan perbandaran baharu

Katanya, perhimpunan bersama di WUF9 adalah sangat penting dalam usaha kerajaan negara masing-masing untuk memastikan masyarakat dunia dapat meningkatkan kualiti hidup di penempatan dan bandar mereka.

“Saya berharap semua pihak yang menyertai forum ini akan membuat tindakan susulan yang praktikal dan strategik untuk memperbaiki keadaan hidup serta ekonomi dan memastikan masyarakat miskin di bandar dijaga dengan baik.

“Saya menggesa inklusiviti da­lam semua program pemba­ngunan supaya usaha ini akan dinikmati oleh semua sektor masyarakat dari segi umur, etnik, jantina, status ekonomi, tahap pendidikan dan agama,” katanya.