Video oleh TOREK SULONG

Masakan tidak, ketelitian pelajar membuat pelbagai dekorasi seni sobek (mencarik kertas) menjadikan wau yang dihasilkan mereka lebih indah, sekali gus mengagumkan orang ramai yang bertandang ke gerai tersebut.

Malah, wau itu bukan sekadar cantik tetapi boleh diterbangkan kerana para pelajar tersebut turut memiliki kemahiran membuat kerangka yang ringan tapi kukuh yang dipelajari daripada tukang wau tersohor di negeri ini.

Guru penasihatnya, Abdul Aziz Sulaiman berkata, Kelab Wau SMK Kedai Buloh menjadi kebanggaan warga sekolah dan penduduk Kampung Kedai Buloh kerana mereka juga adalah juara bertahan Festival Wau Sedunia sejak 2014 hingga 2017.

"Kami bertanding di merata tempat dan setakat ini tidak pernah tewas,” katanya ketika ditemui di gerai pameran Jelajah Pendidikan KPM 2018, di sini hari ini.

Pelajar yang mahir menyobek, Mohd. Khairul Ikhwan Mohamed, 17, pula berkata, antara motif ukiran yang dikuasainya ialah bunga ketam guri, kangkong, seri pagi, bunga raya dan bunga lada hitam.

"Kemahiran yang kami miliki adalah seni warisan yang diperturunkan oleh tokoh Adiguru Kraf Wau Kelantan, Allahyarham Shafie Jusoh,” katanya.

Mohd. Khairul berkata, seramai 20 ahli kelab itu bukan sahaja mahir membuat wau tempatan malah berupaya menghasilkan wau dari negara-negara lain termasuk wau Rokaku yang popular di Jepun. - UTUSAN ONLINE