Video oleh NURAIKHA SHARIPUL BAHARI

Kehadiran watak tersebut di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 3 menceriakan suasana kerana gelagat mereka melakukan senamrobik serta pertunjukan silap mata berjaya mententeramkan sebahagian murid yang mungkin masih gementar untuk menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Guru sekolah tersebut, Ahmad Shahir Muhamad Hasan berkata, acara tersebut merupakan tradisi malah pada tahun lalu, pihaknya membawakan dua watak dalam filem Star Wars serta Batman dan Kamen Rider Decade.

“Kita harap suasana ini memberikan kesan positif kepada murid agar sentiasa ceria pada hari mendatang dan mampu melakar kecemerlangan dalam pelajaran,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Suasana sama juga dapat dilihat di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Chung Hwa di sini yang turut menerima lebih 30 murid Melayu dan India untuk tahun satu pada hari ini.

Biarpun sebahagian kecil daripada 201 murid yang mendaftar namun mereka tidak kekok malah boleh bertutur dalam bahasa Mandarin kerana telah mengikuti prasekolah di sekolah tersebut.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri, Muhammad Zahari Othman yang ditemui ketika meninjau hari pertama persekolahan di SK Demit 2 di sini berkata, seramai 267,974 murid memulakan sesi persekolahan di 595 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 17,376 ialah murid prasekolah; 28,145 (tahun satu) dan 28,961 (tingkatan satu).