La Creme atau lebih dikenali sebagai Cassidy memuat naik rakaman video selama 4 minit 57 saat itu semalam di akaun Facebooknya dan mendapat reaksi pelbagai daripada rakyat negara ini.

Sehingga pagi tadi, video perkongsian penyanyi berusia 30 tahun itu telah ditonton lebih 67,000 kali, mendapat lebih 6,700 reaksi serta dikongsikan sebanyak 2,152 kali oleh pengguna Facebook.

“Ini ibu bapa saya, mereka tidak boleh berbahasa Melayu jadi saya akan mengajar mereka berbahasa Melayu,” katanya ketika memperkenalkan ibu bapanya kepada penonton.

Video dari Facebook CASSIDY LE CREME

Antara perkataan atau bahasa pasar yang diajar Cassidy kepada orang tuanya adalah seperti hebat, gempak sei, leklu pa pa roger, Malaysia boleh, ibu bapa saya, dan pandai.

Selain itu, Cassidy turut mengajar beberapa ayat mudah yang kemudiannya diikuti oleh ibu bapanya termasuk ayat awak pergi mana, hang pi mana, saya sayang anak saya dan rilekslah brader.

Sementara itu, pengikut Cassidy di akaun Facebooknya memuji tindakan gadis itu dan keluarganya dalam mendalami Bahasa Melayu.

Seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Zaco Trunks menyokong usaha Cassidy.

“Terbaik Cassidy. Awak lebih baik daripada sesetengah orang Malaysia yang hanya lahir sahaja di sini tetapi tidak pandai cakap bahasa Melayu. Awak terbaik Cassidy, saya sokong anda,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE