Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berkata, walaupun akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! diterbitkan sepenuhnya dalam bahasa Melayu, ia tetap membawa misi memupuk minda masyarakat tanpa mengira perbezaan agama dan kaum.

Jelas beliau, Kempen Ke­sedaran Kesihatan 2018 yang dianjurkan Yayasan Kumpulan Utusan dengan kerjasama Kolej Sains Kesihatan Pusat Per­ubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini telah membuktikan perjuangan dilakukan diakui masyarakat.

“Alhamdulillah, pada hari ini saya dapat melihat kesepaduan yang utuh antara kaum Melayu, Cina dan India yang memenuhi ruang dewan untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

“Kita mahu memperbanyakkan usaha murni seperti ini kerana ia dapat mengukuhkan persefahaman antara kita,” katanya ketika berucap dalam program berkenaan di Dewan Ibu pejabat Utusan Melayu di sini.

Turut hadir, Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh dan Penolong Pengarah Kanan Bahagian Kaunseling dan Psikologi Jabatan Kebajikan Masyarakat, S. Ramesh.

Program yang berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 4 petang itu turut menerima kunjungan sebanyak 75 warga emas dan anak-anak yatim pelbagai kaum dari tiga buah rumah perlindungan sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, wakil Kolej Sains Kesihatan PPUM, Ahmad Aiman Shahidan menjelaskan petugas yang terlibat dalam kempen tersebut terdiri daripada pelajar Program Pendidikan Lanjutan Kejururawatan dan Diploma Lanjutan Perawatan Kecemasan, Kritikal dan Peroperatif Universiti Malaya.

Katanya, ia merupakan inisiatif khidmat masyarakat yang menjadi mata pelajaran wajib dalam kurikulum.

“Visi program ini adalah memperkasakan masyarakat berilmu pengetahuan dan berkebolehan dalam membantu serta memberi perawatan awal dengan lebih efektif dan berkesan.

“Antara pendedahan atau aktiviti yang dijalankan adalah se­perti saringan kesihatan, demonstrasi pertolongan cemas dan breast self examination,” ujarnya.