Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas berkata, komponen-komponen penting pembelajaran yang ditawarkan syarikat media Melayu menerusi akhbar sisipan Tutor di bawah Unit Pendidikan Utusan Malaysia telah membantu ramai pelajar dan guru dalam proses pembelajaran dan pemudahcaraan (PdP).

Di samping itu, menurut beliau, buku-buku terbitan anak syarikat Kumpulan Utusan, iaitu Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., terus menjadi pilihan Kementerian Pendidikan sebagai bahan buku teks para pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Kepercayaan dan sokongan yang diberikan kerajaan kepada kami ini amat dihargai, malah begitu bermakna apabila Kumpulan Utusan turut dipilih untuk me­nganjurkan Festival Hari Guru Kebangsaan sebanyak sembilan kali berturut-turut sejak tahun 2009.

“Kami akan sentiasa berusaha memberikan yang terbaik bagi melihat festival ini mencapai objektif, sekali gus bersama-sama kerajaan dalam menjayakan agenda pendidikan negara,” katanya pada Majlis Perasmian Festival Hari Guru Kebangsaan 2017 di sini hari ini.

Festival anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Kumpulan Utusan berlangsung sejak semalam hingga Selasa depan bertujuan meraikan pe­ngorbanan dan jasa golongan pendidik di negara ini.

Dalam perkembangan sama, Noordin berkata, Kumpulan Utusan juga berterima kasih kepada beberapa agensi kerajaan dan syarikat swasta yang memberi sokongan termasuk sanggup turun padang ke seluruh negara dalam menjayakan festival tersebut dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan pada masa akan datang.

“Penganjuran festival secara besar-besaran ini antara khidmat sosial Kumpulan Utusan kepada masyarakat dan kami berharap ia dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

“Selain itu, usaha Kumpulan Utusan menjadikan festival ini sebagai satu jenama yang diiktiraf telah menampakkan hasil apabila banyak pempamer baharu yang terdiri daripada syarikat swasta turut mengambil bahagian, terima kasih banyak-banyak,” katanya.