Video oleh SYEFRY MONIZ

Mohd. Kazim yang juga penge­tua dan pengasas pusat itu berkata, pihaknya terpaksa membuat keputusan tersebut setelah tidak mampu lagi menampung kos pentadbiran Unit Tahfiz berkenaan.

Katanya, perbelanjaan sehingga RM150,000 sebulan diperlukan bagi menampung kos keseluruhan unit itu yang menempatkan 100 pelajar.

“Selain Unit Tahfiz, kita turut mempunyai Tadika Nurul Barakah dan Pengajian Pondok (dewasa). Bagaimanapun, saya hanya menjual Unit Tahfiz ini sahaja seperti yang diiklankan.

“Saya terpaksa membuat keputusan ini setelah memikirkan nasib guru dan pelajar. Penjualan ini dilihat dapat menampung kos pentadbiran dua unit lain," katanya di sini hari ini.

Sebelum ini tular mengenai penjualan Unit Tahfiz berkenaan di laman sosial dan turut diiklankan menerusi laman mudah.my pada harga RM5 juta.

Pusat pendidikan Al Barakah ditubuhkan sejak tahun 2005 dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Unit Tahfiz, Tadika Nurul Barakah dan Pengajian Pondok untuk pelajar dewasa.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, kos pentadbiran unit berkenaan sebelum ini dibiayai melalui ceramah, kuliah, penjualan buku-buku diterbitkan dan program-program televisyen.

Bagaimanapun katanya, sejak kebelakangan ini beliau tidak lagi menerima undangan kuliah dan ce­ramah hingga menyebabkan pihaknya tidak mampu lagi menampung kos pentadbiran unit tersebut.

“Sejak dua tiga bulan ini saya rasa macam ada satu usaha menyekat ceramah saya, dibatalkan dan dihalang, saya rasa kalau keadaan ini berterusan, saya tidak mampu menampung Al Barakah,” katanya.

Sementara itu Mohd. Kazim dalam muat naik status terbaharu­nya di laman Facebook berkata, pembiayaan unit berkenaan adalah hasil daripada kuliah dan ceramah­nya yang dilakukan setiap hari.

Namun katanya, jika ada usa­ha untuk menyekat ceramah, bagaimana beliau ingin meneruskan Unit Tahfiz itu yang memerlukan dana yang besar.

“Setiap hari saya memikir dan susah hati tentang nasib pelajar-pelajar daripada anak yatim, warga emas dan mualaf yang menetap dan belajar di sini. Kalau saya tidak mampu lagi saya minta maaf banyak-banyak,” katanya.

Mohd. Kazim akan mengadakan sidang akhbar mengenai perkara itu pada pukul 9.30 pagi esok di Dewan Annuar Mat Taib, Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi.