Video oleh FARID JANUDIN

Mereka akui pendekatan itu termasuk saranan agar tiada majlis diadakan bagi meraikan kecemerlangan calon dalam lapangan akademik itu dapat mengurangkan tekanan kepada bukan sahaja kepada murid-murid, ibu bapa, PIBG, warga pendidik dan jabatan, malah bagi negeri.

Salah seorang yang ditemui, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Bukit Losong di sini, Syed Anuar Syed Mohammad berkata, selama ini tekanan dirasai oleh semua apabila keputusan peperiksaan awam dijadikan ukuran perbandingan antara calon, sekolah, daerah dan negeri.

"Pendekatan kementerian adalah baik kerana tiada murid yang merasa terpinggir, apabila ukuran kecemerlangan bukan lagi bersandarkan pencapaian akademik semata-mata dalam membentuk keterampilan mereka.

"Apatah lagi pada setiap akhir tahun, sekolah pastinya mengadakan hari anugerah kecemerlangan bagi meraikan pencapaian murid dalam semua bidang. Jadi tidak perlu majlis berasingan bagi meraikan, sekali gus dapat mengurangkan kos ," ujarnya.

"Cuma saya cadangkan Pejabat Pendidikan Daerah mengadakan taklimat kepada semua pengerusi PIBG agar mereka faham bahawa kayu ukur kecemerlangan bukan lagi terarah kepada keputusan UPSR sepenuhnya," tambah Syed Anuar.

Sementara itu, seorang bapa, Mohamad Lazim Ismail berkata, tanpa majlis meraikan suasana tidak semeriah sebagaimana lazimnya setiap tahun, apabila sentiasa dinantikan termasuk oleh ibu bapa yang anak mereka menjadi calon.

Walaupun tradisi meraikan calon cemerlang mungkin tidak lagi dilakukan, beliau berharap kerajaan negeri meneruskan pemberian insentif kepada calon yang berpeluang melanjutkan pengajian di sekolah berasrama penuh. - UTUSAN ONLINE