Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, iltizam atau inisiatif kerajaan BN menerusi manifesto yang diumumkan untuk membina sebuah universiti al-Quran membuktikan kesinambungan mengangkat martabat Islam sebagai agama rasmi negara.

Beliau berkata, gagasan dalam manifesto BN adalah sejajar, seiring dan berkesinambungan dengan dasar yang baharu yang diperkenalkan iaitu Dasar Tafiz Negara (DTN).

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berusaha melahirkan 125,000 hufaz yang profesional menerusi DTN, yang mana menghafaz 30 juzuk al- Quran dan memahami maksudnya malah pada masa yang sama mereka menguasai disiplin ilmu yang menyumbang kepada pembangunan dan ketamadunan negara.

“Kiranya berjaya direalisasikan selepas Pilihan Raya Umum ke-14, Malaysia adalah negara pertama dunia mempunyai universiti sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas merasmikan Program Motivasi Pautan Kasih Keluarga Bahagia anjuran ECER empower Pasir Puteh dan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku, dekat sini, hari ini.

Asyraf berkata, universiti al-Quran sebagaimana yang digarapkan dalam manifesto BN kali ini adalah hasrat dan impian kepimpinan parti dalam usaha melahirkan generasi ulul albab yang menguasai al-Quran serta menguasai disiplin ilmu yang memberi manfaat lepada masyarakat dan negara.

“Kita bakal menyaksikan lahirnya golongan profesional seperti ahli Sains, ekonomi, doktor, jurutera dan pelbagai bidang lagi adalah dalam kalangan hufaz al-Quran.

“Pastinya BN akan mengotakan janji selepas mendapat mandat rakyat,” katanya.-UTUSAN ONLINE