Pengarah MGIEP, Dr. Anantha Kumar Duraiappah, rakyat Malaysia yang berpengkalan di New Delhi akan menyelaras ujian rintis di lima buah sekolah di Malaysia selama tiga tahun, bermula tahun depan, sehingga 2020.

Dianggar terdapat 420 buah sekolah di kategorikan sebagai ‘titik panas’ seluruh negara yang dile­takkan dalam kategori bermasalah dadah dan disiplin termasuk buli.

Salah sebuah sekolah yang te­lah menyatakan kesediaan untuk melakukan secara suka rela ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tuanku Abdul Rahman di Ipoh, walaupun sekolah ber­kenaan bukanlah dalam kelompok ‘sekolah panas’.

UNESCO MGIEP akan menasihati Kementerian Pendidikan jika ada keperluan seperti penentuan kriteria khusus terhadap baki empat lagi sekolah rintis seperti kumpulan sasaran, persekitaran dan kumpulan umur sampel.

Kurikulum Libre menggunakan pendekatan pendidikan melalui pengintegrasian elemen pedagogi seperti kaedah inkuiri yang kritikal dengan kemam­puan pemikiran, empati atau secara mudahnya menggunakan keseluruhan bahagian otak.



Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam sidang akhbar di sini hari ini memberitahu, projek itu akan dibiayai sepenuhnya oleh UNESCO.

“Kita bawa balik dulu (modul Libre), lihat sama ada sesuai atau tidak. Kalau kita dapati tidak sesuai, tidak perlu diteruskan.

“Mana-mana kaedah yang terbaik kita akan guna,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan hormat rakan sejawatan dari Pakistan, Muhammad Baligh-ur Rahman sempena Perhimpunan Agung UNESCO yang berakhir esok.

“Saya juga berkesempatan berjumpa dengan Dr. Anandha, rak­yat Malaysia yang bertugas dengan UNESCO MGIEP dan faham bahawa program MGIEP ialah melihat sekolah yang bermasalah dalam menyediakan model untuk pelaksanaan program khusus di sekolah-sekolah yang bermasalah,” ujarnya.

Katanya, mulai tahun depan, institut ini telah bersetuju untuk menaja program ini di lima buah sekolah di Malaysia.

“Mereka akan melihat di mana masalah berlaku dan hubung kait antara pelajar, sekolah dan juga masyarakat,” katanya.

Pengetua dan dua guru SMK Tuanku Abdul Rahman, serta Ke­tua Unit di Bahagian Penyelidikan dan Perancangan Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Zurina Zulkarnain menyertai wakil 10 negara lain mengikuti bengkel sulung Libre apada Ogos lepas di institut berkenaan.

India, Sri lanka, Zimbabwe dan Kenya turut menyertai projek rintis di peringkat masing-ma­sing.

Terdahulu, ketika mengulas pertemuannya dengan Muhammad, kedua-dua rakan sejawatan itu bertukar-tukar pandangan tentang data dan fakta pendidikan di negara masing-masing dan bagaimana kedua-dua negara boleh saling bantu-membantu.

“Saya memberitahu beliau tentang Pelan Pembangunan Pendi­dikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dan di dalamnya kita memberi keutamaan kepada inisiatif melahirkan guru berkualiti di Institut Pendidikan Guru (IPG), kerjasama dengan ibu bapa, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta me­ngenai persekitaran sekolah yang kondusif,” ujar Mahdzir. – utusan