Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, Nor Alia Aqilla Jamaluddin, 18, berkata, dia terjaga kerana ada ‘sesuatu’ yang melingkar serta membelit lehernya dan terkejut apabila mendapati ia adalah seekor ular sawa.

“Saya terasa ada sesuatu objek lembik di leher saya. Dalam suasana gelap itu ternampak kepala ular dengan lidahnya di leher saya.

“Saya bingkas bangun dan terus membuka lampu. Alangkah terkejutnya apabila mendapati objek lembik itu sebenarnya seekor ular sawa sepanjang 3.3 meter berlingkar di atas katil,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mangsa yang masih trauma dengan kejadian itu berkata, sebaik menyedari kediaman mereka dimasuki ular tersebut, ibu saudaranya, Nor Elida Khaidir, 27, terus menghubungi pihak bomba.

Menurutnya, dia sekeluarga sangat panik termasuk dua sepupunya yang masih kecil turut terjaga daripada tidur.

“Ketika itu dia tidur bersama ibunya di bilik utama. Kami semua menunggu di luar rumah. Apabila terdengar bunyi kecoh dan bising jiran-jiran datang melihat apa yang berlaku termasuk ketua blok di sini,” katanya.

Tidak lama kemudian katanya, empat anggota bomba tiba pukul 5.30 pagi lalu berjaya menangkap ular sawa seberat 26 kilogram itu.

Nor Alia Aqilla tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat tahun lalu dan dia kini bekerja di sebuah kedai makan di Kampung Tanjung, di sini. - UTUSAN ONLINE