Titah Sultan Nazrin, tidak harus wujud tanggapan bahawa ulama bertanggungjawab kepada urusan agama sahaja sementara umarak bertanggungjawab kepada urusan negara semata-mata.

“Agama Islam sendiri tidak memisahkan kuasa agama de­ngan kepemimpinan duniawi dan tidak pula memisahkan kuasa pemimpin daripada agama.

“Ulama adalah pemimpin tidak formal, berakar dalam masyarakat dan menjadi teladan kerana keluasan ilmu, keperibadian dan keikhlasan.

“Umarak pula sebagai kepe­mimpinan dalam pemerintahan yang diamanahkan dengan tanggungjawab secara formal lagi berstruktur, memiliki bidang kuasa tertentu berlandaskan undang-undang untuk mengurus dan memimpin masyarakat,” titah Sultan Nazrin.


Video oleh SYEFRY MONIZ

Sultan Nazrin bertitah demikian dalam Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang bertajuk Kepimpinan dan Kekhali­fahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umarak di Pusat Konvensyen Amanjaya di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sultan Nazrin bertitah, umarak adalah satu keperluan dalam ma­syarakat kerana tanpa mereka, masyarakat boleh menjadi kacau bilau dan syariah tidak dapat dilaksanakan.

Titahnya, ulama dan umarak adalah pewaris nabi kerana ulama merupakan sumber ilmu manakala umarak sumber kepemimpinan sementara ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian ulama dengan umarak.

“Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud dua golongan utama dalam kalangan umat manusia, apabila kedua-duanya baik, maka akan baiklah umat manusia dan apabila kedua-dua golongan itu rosak, maka rosaklah seluruh manusia iaitu ulama dan umarak.”