Video oleh HARADIAN SHAH HAMDAN

Antara kemudahan tersebut termasuk studio televisyen, studio hibrid berita, bilik suntingan audio video, konti radio dan mini teater bagi kegunaan pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM).

Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Negeri Sembilan, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Ramli berkata, peralatan bidang penyiaran di kampus tersebut merupakan yang tercanggih di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di negara ini.

"Pada masa ini terdapat 266 pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Kepujian Penyiaran di kampus ini dan 85 orang daripada mereka merupakan perintis bagi program 2U1I yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Tinggi.

"Melalui program 2U1I, mereka akan berada selama dua tahun di universiti dan satu tahun menjalani latihan industri dengan syarikat yang mempunyai kerjasama dengan UiTM antaranya stesen televisyen, TV3 dan AlHijrah," katanya ketika ditemui di kampus itu, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UiTM Negeri Sembilan, Mohd. Zulhilmi Mohd. Yunus dan Penolong Rektor UiTM Kampus Rembau, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Kampus Rembau yang mula beroperasi pada 1 Februari tahun lalu memiliki tiga fakulti iaitu FKPM, Fakulti Pengurusan Perniagaan dan Fakulti Pengurusan Maklumat dengan jumlah pelajar seramai 3,000 orang.

Kampus yang dibangunkan di atas tanah seluas 32.4 hektar di Kundur, di sini merupakan kampus UiTM ketiga di Negeri Sembilan selepas di Kuala Pilah dan Seremban 3. - UTUSAN ONLINE