TENGKU ADNAN TENGKU MANSOR

Menurut beliau, ucapannya itu berdasarkan situasi orang Melayu pada 1970-an yang tercicir dalam pelajaran disebabkan keadaan sekolah-sekolah di luar bandar yang serba kekurangan menyebabkan Institut Teknologi Mara (ITM) yang sekarang dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM) diwujudkan untuk menampung keperluan pembe­lajaran tinggi mereka.

Berikut kenya­taan penuh beliau berhubung isu itu:

UCAPAN saya disalah tafsir. Saya memberi sedikit huraian sejarah mengenai bangsa kita orang Melayu. Sebelum 13 Mei 1969 memang Melayu amat mundur. Akibatnya pelajar Melayu luar bandar khususnya begitu mundur dalam pelajaran.

Ini kerana sekolah luar bandar banyak kekurangan. Akibatnya ramai tidak dapat masuk universiti. Malah, awal tahun 70-an, syarat masuk universiti diturunkan sekadar dua prinsipal dan satu subsid pun layak masuk universiti. Maka kuota dilaksana­kan mengguna Hak Keistimewaan Melayu di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Namun, ramai pelajar Melayu peringkat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tercicir, juga peringkat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia). Maktab Mara ditukar menjadi ITM dan pelajar-pelajar Melayu SPM yang dapat gred tiga pun diterima masuk ITM. Bahasa Inggeris langsung sifar. Tapi apabila diberi peluang dan kemudahan yang cukup cuba lihat ramai yang dapat PhD dan peringkat profesional seperti akauntan bertauliah (ACA), kewangan (ICMA), kejuruteraan dan berpuluh lagi.

Malah, ada pelajar Melayu dari UiTM yang top of world seperti bidang ACA. Sekarang UiTM sudah menjadi Mutiara Bangsa dan universiti maya de­ngan 13 cawangan seluruh negara dengan pelajar sekitar 170,000 orang. Semua tahu setakat ini terdapat 600,000 alumni UiTM.

Tahniah kepada Tan Sri Arshad Ayub, Bapa UiTM. Tapi apakah UiTM dan kehebatan pelajar Melayu ini menjadi kenyataan tanpa UMNO dan Barisan Nasional (BN)?

Hakikatnya UMNO dan BN yang merealisasikan kebangkitan bangsa Melayu yang dulu mundur atau slow akibat kemiskinan tegar. Begitu juga Maktab Rendah Sains Mara yang menempa kejayaan luar biasa.

Lupakah kepada UMNO? Inilah yang saya cuba huraikan secara spontan melalui ucapan off the cuff yang mungkin tidak kemas penyampaiannya. Jika ada kesilapan teknikal dari segi ucapan yang tidak disengajakan, itu adalah kelemahan yang ada pada semua manusia.

Sama-samalah kita tegakkan kehebatan bangsa Melayu kita seterusnya.