Video oleh GAMAL NASIR MOHD. ALI

Sambutan yang memperingati kematian 249 "syahid 15 Julai" itu berlangsung selama se­minggu dan acara kemuncaknya ialah pelancaran kompleks Tugu Pejuang Syahid 15 Julai di hadapan Kompleks Istana Presiden di sini Sabtu ini oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Pada 15 Julai tahun lalu, rakyat Turki turun beramai-ramai di jalan raya bagi menghalang cubaan rampas kuasa oleh kumpulan yang dikenali sebagai Pertubuhan Pengganas Fethullah (Feto) yang dipimpin oleh Fethullah Gulen, seorang ulama yang me­larikan diri ke Amerika Syarikat.

Dengan sokongan puak tentera yang prihatin dengan Gulen, mereka mengebom bangunan Parlimen Turki di sini dengan menggunakan pesawat pejuang dan helikopter, selain membuat sekatan jalan raya dan cubaan membunuh Presiden Erdogan.

Bagaimanapun cubaan rampasan kuasa yang hanya berlaku semalaman itu berjaya dipatahkan apabila rakyat Turki termasuk wanita serta remaja turun beramai-ramai tanpa mengira parti dan fahaman menghalang pergerakan serta sekatan tentera bagi mempertahan kerajaan pimpinan Erdogan daripada Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Sambutan siri ulang tahun tersebut dimulakan oleh Erdogan apabila beliau dan Perdana Menteri, Binali Yildirim melawat tempat persemadian pejuang syahid 15 Julai itu di sebuah perkuburan di daerah Fatih, Istanbul kelmarin.

Akhbar Hurriyet Daily News melaporkan semalam, pusat akhbar pejabat pre­siden turut mendedahkan tema reka bentuk dan konsep seni bina tugu setinggi 31.4 meter itu di sebuah kawasan seluas 2,500 meter persegi.

Akhbar itu mela­porkan, tugu yang dibina menggunakan batu marmar hijau akan menyemadikan nama-nama 249 yang terbunuh semasa cubaan rampasan kuasa tersebut.

Sebuah lagi tugu akan dibina di Jambatan Syahid 15 Julai (dulunya dikenali sebagai Jambatan Yavuz Sultan Selim) di Istanbul bagi memperingati kejayaan rakyat Turki mematahkan sekatan tentera dengan kereta kebal di situ pada malam cubaan rampas kuasa.

Sementara itu Duta Malaysia ke Turki, Abd. Razak Abdul Wahab ketika ditemui media Malaysia semalam berkata, rakyat Malaysia harus mencontohi sikap patriotik rakyat Turki dalam mempertahan sistem demokrasi dan pilihan raya.

Katanya, rakyat Turki tanpa mengira parti politik telah me­nyahut seruan mempertahan sistem demokrasi mereka selepas kumpulan tentera yang berpaling tadah mengebom bangunan Parlimen di sini serta mengenakan sekatan tentera menggunakan kereta kebal di jalan-jalan raya di sini dan di Istanbul tahun lalu.

“Rakyat Turki telah membuktikan mereka berjaya mempertahan nilai kebebasan dan sistem demokrasi mereka bagi memilih kerajaan. Wanita dan remaja juga keluar beramai-ramai dan berjaya mematah cubaan rampas kuasa secara tidak demokratik itu. Inilah yang boleh dipelajari rakyat Malaysia sempena ulang tahun pertama cubaan rampasan kuasa berkenaan,” katanya.

Menurut Abd. Razak, Turki mahu melaksanakan hukuman maksimum terhadap pengkhi­anat-pengkhianat negara tersebut termasuk hukuman mati, namun hukuman berkenaan bertentangan dengan dasar-dasar Kesatuan Eropah (EU).

“Sehubungan itu, Turki terpaksa melanjutkan undang-undang darurat tersebut setiap tiga bulan sehingga ke hari ini bagi memastikan setiap penahanan dan pendakwaan mereka yang disyaki memenuhi kriteria EU.

“Pada 16 April lalu, kerajaan Turki juga berjaya dalam refe­rendum mereka untuk memperkenalkan sistem pemilihan presiden oleh rakyat. Pemilihan presiden itu dijadualkan berlangsung pada 2019 nanti,” tambah beliau. – Utusan