Tinjauan Utusan Online mendapati, orang ramai mula menunggu seawal pukul 4.30 pagi untuk membuat semakan.

Namun, mereka hanya diberikan ‘tiket’ untuk mendapatkan nombor giliran pada pukul 6.30 pagi.

Orang ramai yang ‘berjaya’ mendapatkan tiket tersebut perlu beratur terlebih dahulu dan mengisi nama serta nombor kad pengenalan masing-masing sebelum mendapatkan nombor giliran bagi membuat semakan.

Setelah selesai kesemua prosedur tersebut, barulah mereka dibenarkan naik ke tingkat 42 dan diberikan nombor giliran untuk membuat semakan secara berperingkat.

Mereka yang mendapat tiket bermula nombor 1 hingga 50 dibenarkan naik pada pukul 9 pagi; 50 hingga 100 pukul 9.30 pagi; 101 hingga 150 pukul 10.30 pagi; 151 hingga 200 pukul 11 pagi; 201 hingga 250 pukul 11.30 pagi dan 251 hingga 300 pukul 12 tengahari.

Rata-rata mereka yang ditemui tidak mengetahui kewujudan Bahagian Pengurusan WTD sehinggalah ia tular beberapa hari lalu.

Walaupun terpaksa menunggu seawal 4.30 pagi namun kebanyakan daripada mereka teruja untuk mengetahui jumlah WTD di akaun bank masing-masing.

Seorang pekerja swasta, Johari Mohamed berkata, dia telah tiga kali pergi ke Menara Maybank untuk membuat semakan namun gagal kerana nombor giliran telah habis.

“Saya difahamkan mereka hanya menerima 300 orang sahaja sehari untuk membuat semakan.

“Namun hari ini saya datang lebih awal dan berjaya dapat nombor giliran,” katanya yang mempunyai beberapa akaun simpanan yang tidak aktif.

Sementara itu, seorang suri rumah M.Kaayathiri berkata, dia tidak menyangka mempunyai RM200 di dalam akaun simpanannya.

“Saya memang mempunyai dua akaun yang tidak aktif namun tak sangka masih ada duit dalam akaun itu.

“Walaupun tidak banyak tapi boleh juga bantu suami untuk beli barang keperluan rumah,” katanya. - UTUSAN ONLINE

 

Video oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN