Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, bila­ngan dan kepelbagaian spesies ikan bertambah daripada 15 spesies kepada 109 spesies dalam tempoh itu sekali gus mewujudkan satu habitat baharu yang mening­katkan biomass ikan di kawasan berkenaan.

“Jumlah peningkatan spesies ikan itu amat tinggi dan kajian Jabatan Perikanan mendapati inisiatif itu turut meningkatkan pendaratan nelayan Zon A daripada 27,200 tan pada 2009 kepada 30,400 tan pada 2013.

“Bahkan melalui bancian sama, seramai 80 peratus nelayan bersetuju bahawa ikan semakin ba­nyak selepas tukun ditempatkan di laut serta memendekkan masa ke laut dan mengurangkan kos operasi,” katanya dalam kenyataan yang diedarkan selepas hadir bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyaksikan majlis menandata­ngani memorandum persefahaman (MoU) program Rig To Reef (R2R) antara Jabatan Perikanan dan Petronas di Dataran Marang di sini hari ini.

MoU yang membawa kepada kepada pelaksanaan program perintis melabuhkan tukun tiruan dari pelantar minyak terpakai di Semenanjung itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan dan Naib Pre­siden (Pengurusan Petroleum) Pe­tronas, Muhammad Zamri Jusoh.

Katanya, projek tukun tiruan memberi manfaat kepada 6,500 nelayan tradisional di negeri ini yang turut berjaya mengurangkan aktiviti pencerobohan nelayan pukat tunda di zon berkenaan.

Ahmad Shabery memberitahu bahawa pelantar minyak terpakai itu dilupuskan menjadi tukun tiruan dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan ia selamat untuk hidupan marin.

Katanya, projek R2R pertama Malaysia dilaksanakan pada 2004 membabitkan pelantar minyak terpakai yang dinyahtauliah dan telah dilabuhkan di perairan Ba­ram, dengan diberi nama sebagai Rig To Reef Baram-8 (BA-8).

“Kerjasama dengan Petronas merupakan permulaan yang baik bagi usaha meningkatkan sumber ikan, seterusnya membantu me­ningkatkan pendapatan nelayan.

“Saya mengalu-alukan pihak swasta dan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) untuk bekerjasama dengan Jabatan Perikanan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seumpama ini dalam pembangunan tukun tiruan,”ujar beliau.

Menurut beliau, Terengganu berupaya mendaratkan antara 50,000 hingga 80,000 tan ikan setahun di enam jeti pendaratan utama di Kuala Besut, Cendering, Marang, Kuala Kemaman, Kuala Dungun dan Pulau Kambing.

“Ini menyumbang kira-kira enam peratus jumlah pendaratan ikan di seluruh negara yang salah satunya disebabkan tukun-tukun yang dilabuhkan di sekitar perair­an negeri ini,” katanya.

Ahmad Shabery berkata, selain Kuala Besut, kemudahan pendaratan di Cendering juga dilihat mampu menjadi kompleks pendaratan utama memandangkan kapasitinya yang besar dan dilengkapi kemudahan baik.

Katanya, pendaratan ikan di negeri ini akan dapat ditingkatkan dengan pemantauan dan penguatkuasaan lebih ketat oleh Jabatan Perikanan dan sekatan vesel tempat­an untuk mendarat di negara jiran.