Komander Pangkalan Udara Subang, Brigedier Jeneral Datuk Muhammad Mudzamir Ong Abdullah berkata, pesawat tersebut  ditugaskan sebagai pesawat pengangkut membawa barang keperluan secara ulang-alik dari Jakarta ke Palu sekurang-kurangnya dua kali sehari.

Menurutnya, pesawat tersebut turut membantu membawa keperluan perubatan yang disumbangkan Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dari negara ini.

“Misi ini akan disertai seramai 23 krew dan tiga wakil media diketuai Pegawai Memerintah 22 Skuadron, Leftenan Kolonel Baharin Mohamad.

“Kita dialu-alukan membantu Indonesia kerana mereka tidak mempunyai pesawat besar. Jadi, A400M sesuai dengan kemampuan membawa muatan sehingga 22 tan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Difahamkan pesawat A400M tersebut akan ditugaskan antara empat sehingga 10 hari di sana.- UTUSAN ONLINE.