Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pendidikan Islam Selangor (Yapis), Prof. Datuk Dr. Ab. Halim Tamuri berkata, kaedah yang diguna pakai guru-guru tahfiz ketika ini tidak konsisten kerana kebanyakan daripada mereka mengajar berdasarkan pengalaman sahaja.

Oleh itu, pihaknya telah mengemukakan usul tersebut kepada Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran Pendidikan Agama Islam (Lepai) bagi membawa perkara tersebut ke mesyuarat badan itu Mac ini supaya dibawa ke peringkat lebih tinggi.

“Sebenarnya kita boleh kumpulkan pakar-pakar dalam daripada pusat pengajian tinggi sama ada di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan supaya guru-guru tahfiz diberikan latihan secukupnya terutama sebelum dan dalam perkhidmatan.

“Wujud keperluan melatih guru dengan teknologi baharu kerana mereka memerlukan satu latihan khusus. Jika tidak, mereka akan mengambil pengalaman lama yang tidak konsisten dengan sistem pengajaran sekarang. Keperluan ini sangat signifikan dan perlu dilakukan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menjadi ahli panel Wacana Cendekiawan Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) bertajuk Status Sekolah Tahfiz Dalam Pendidikan Negara: Di Mana dan ke Mana Akhirnya? di Universiti Kebangsaan Malaysia dekat sini hari ini.

Video oleh AHMAD SHAZWAN MD. YUSOF

Turut hadir sebagai ahli panel adalah Bendahari Persatuan Madrasah Tahfiz Al-Quran Malaysia (Permata Al-Quran), Mejar (B) Datuk Adnan Hashim; Ahli (Lepai), Prof. Datuk Paduka Zakaria Stapa; Pensyarah Pusat Citra UKM, Dr. Azizi Umar dan Pengarah Atma, Prof. Dr. Supyan Husssin selaku moderator.

Mengulas lanjut, Ab. Halim berkata, penubuhan istitusi itu perlu dilakukan secara berperingkat melibatkan semua guru-guru di sekolah tahfiz dan agama seluruh negara merangkumi sekolah arus perdana dan swasta.

“Kita bawakan cadangan ini di bawah Lepai dan kemudiannya melibatkan beberapa kementerian dan agak rumi kerana melibatkan banyak pihak. Perbincangan demi perbincangan akan dilakukan dan diharapkan penubuhan institusi ini dapat dilakukan secepat mungkin,” ujarnya.

Sementara itu, Zakaria berkata, perkara tersebut merupakan satu isu kritikal kerana membabitkan pendidikan anak-anak tahfiz yang sejawarnya mendapat pendidikan dengan lebih tersusun.

“Asas yang berkaitan pendidikan guru-guru tahfiz merupakan satu perkara kritikal yang perlu diberikan pendedahan secukup supaya persoalan guru tidak terlatih dan kurikulum tidak selaras tidak timbul lagu.

“Urus tadbir mengenai perkara ini tertakluk kepada pusat tahfiz itu sendiri sama ada pada skala besar atau tidak,” katanya. - UTUSAN ONLINE