Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, majlis tersebut bakal dianggotai tokoh dan pakar tempatan yang berperanan menyalurkan idea dan pendapat kepada kerajaan untuk penggubalan polisi pertanian negara.

“Adalah penting untuk memilih beberapa orang tokoh berpengalaman dalam bidang pertanian untuk mereka melontarkan fikiran ke arah meningkatkan pro­duktiviti industri asas tani yang merangkumi teknologi, pemasaran dan penyelidikan serta pembangunan.

“Satu nota Kabinet akan diberikan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu depan untuk kelulusan. Saya berharap tertubuhnya majlis ini dapat memberi nafas baharu kepada sektor pertanian tanah air untuk jangka pendek dan panjang," katanya dalam sidang akhbar selepas memulakan tugas rasmi di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini, hari ini.

Terdahulu, ketibaan beliau disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan para pegawai kanan kementerian serta agensi.

Sementara itu, Salahuddin memaklumkan, pengerusi dan ahli lembaga pengarah pelbagai agensi di bawah kementerian­nya akan dilantik daripada golongan profesional dan bukannya ahli politik.

Katanya, hasrat itu bagi me­laksanakan manifesto Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan setiap agensi kerajaan bebas daripada pengaruh politik.

“Pengerusi dan ahli lembaga itu mestilah dalam kalangan profesional, mempunyai latar belakang yang bersih dan berkelayakan.

“Usaha ini sekali gus dapat memberikan satu paradigma baharu kepada kerajaan dan kita tidak mahu isu-isu lama berulang lagi pada masa hadapan,” katanya.